MINDEF perlu diberikan bajet pertahanan mencukupi demi kelangsungan pemodenan, senggaraan aset | DagangNews Skip to main content

MINDEF perlu diberikan bajet pertahanan mencukupi demi kelangsungan pemodenan, senggaraan aset

ATM perlu diberikan bajet pertahanan yang mencukupi untuk mendukung keperluan angkatan tersebut.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 12 Okt - Sehingga diumumkan esok, ramai yang akan berteka-teki dengan pembentangan Bajet 2024 berhubung apakah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima peruntukan lebih besar berbanding sebelumnya.

 

Melihat pada bajet tahun-tahun sebelumnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) hanya menerima peruntukan sederhana berbanding kementerian

 

Tahun lalu MINDEF menerima peruntukan sebanyak RM18.3 bilion untuk terus memperkukuhkan keselamatan negara.

 

Daripada jumlah itu sebanyak RM4 bilion bagi perolehan aset baharu dalam meningkatkan kesiagaan pertahanan.

 

Helikopter

 
Kapal

 

Ini menunjukkan sehingga 60 peratus diperuntukkan bagi emolumen manakala bakinya bagi perbelanjaan pembangunan.

 

Pada Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM16.14 bilion diberikan yang mana hanya pertambahan terlalu kecil iaitu kira-kira 1.78 peratus berbanding peruntukan tahun lalu iaitu RM15.86 bilion.

 

Jika melihat pada rancangan pemodenan yang telah dirangka, MINDEF sepatutnya diberikan peruntukan yang menepati dengan keperluan untuk diagih-agihkan.

 

Antaranya perolehan 18 unit sistem artileri mudah gerak (SPH) berkaliber 155mm termasuk infrastruktur bagi kekuatan sebuah rejimen. 

 

SPH
Sistem SPH antara aset yang diintai ATM.

 

Perolehan SPH merupakan antara projek yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan keupayaan kuasa tembakan Rejimen Artileri Diraja.

 

Seterusnya perolehan bot pemintas laju (FIC) sebagai tambahan kepada pembelian sedia ada.

 

Bot FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pemintasan di perairan cetek dan berpulau.

 

FIC juga boleh dipasangkan dengan sistem persenjataan termasuklah sistem peluru berpandu yang dikendalikan oleh anggota lantas menjadikan ia aset berbisa.

 

Bot
Bot FIC TLDM.

 

Aset seterusnya yang diperlukan ialah pesawat helikopter untuk ketiga-tiga cabang dalam ATM. Ini kerana setiap pasukan mempunyai kehendak dan keperluan berbeza dalam pengangkutan udara.

 

Walaupun Tentera Darat akan menerima dua daripada empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan tahun ini, tetapi keputusan untuk membuat perolehan baharu perlu dilakukan segera.

 

Ini supaya helikopter baharu itu nanti dapat diterima mengikut jadual.

 

Perolehan aset lain ialah sistem pertahanan udara aras rendah untuk Tentera Darat memandangkan jangka hayat kelengkapan sedia ada hampir berakhir.

 

Helikopter
Helikopter UH-60 Black Hawk.

 

 

Helikopter

 

Pembelian boleh dilakukan secara sedikit demi sedikit asalkan aset-aset baharu ini dapat dibekalkan kepada pasukan terlibat.

 

Peruntukan tambahan khusus untuk MINDEF juga perlu jika kerajaan akan melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan melalui modul berbeza berbanding sebelum ini.

 

Sepertimana diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan, program berkenaan akan dijalankan di 13 kem Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis di seluruh negara.

 

Tidak semua kem-kem Askar Wataniah ini mempunyai kemudahan mencukupi selain kebanyakan menggunakan bangunan-bangunan lama sebagai kediaman.

 

Plkn
Peruntukan tambahan diperlukan sekiranya program PLKN hendak dimulakan khususnya melibatkan penambahbaikan kemudahan kem Askar Wataniah.

 

Bukan bermakna kem Askar Wataniah ini teruk, tetapi jika untuk menampung jumlah pelatih yang ramai pada satu-satu masa maka beberapa penambahbaikan kemudahan dalam kem tersebut perlulah dilakukan.

 

Sebenarnya masih banyak senarai hasrat untuk pembelian aset-aset baharu belum terlaksana, malah sebahagian besarnya terpaksa ditangguhkan melebihi 10 tahun lalu.

 

Bukan sahaja pembelian untuk pemodenan, malah untuk melengkapkan pasukan-pasukan sedia ada juga tidak dapat dilakukan sepenuhnya disebabkan kekangan kewangan.

 

Justeru, kemampuan kewangan penting demi memastikan kesiapsiagaan ATM berada pada paras mampu beroperasi sebagai sebuah angkatan lengkap.

 

Bajet pertahanan yang seimbang membolehkan ATM meneruskan rancangan pemodenan selain menyelenggara aset-aset sedia ada.- DagangNews.com