Minetech terima projek EPCC loji hidro mini bernilai RM36.71 juta di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Minetech terima projek EPCC loji hidro mini bernilai RM36.71 juta di Terengganu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Pakar kejuruteraan awam dan pengeluar produk bitumen, Minetech Resources Berhad menerusi anak syarikatnya, Techmile Resources Sdn. Bhd. (TRSB) menerima surat anugerah (LOA) daripada Tesdec Hydropower Sdn. Bhd. bagi projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji kuasa hidro mini 3MW di Sungai Pelagat, Besut, Terengganu bernilai RM36.71 juta.

 

Projek itu, yang akan bermula pada Januari 2023, dan dijangka siap Mei 2027, berada di bawah program suapan tarif (FiT) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dengan perniagaan atau individu yang memegang sijil kelulusan boleh menjual RE pada kadar FiT kepada pemegang lesen pengedaran seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

TRSB menyediakan EPCC serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk industri tenaga. 

 

Tesdec Hydropower ialah sub-subsidiari Tesdec Berhad (Tesdec) melalui anak syarikatnya, Tesdec Services Sdn. Bhd. 

 

Tesdec dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu manakala Tesdec Hydropower terutamanya terlibat dalam aktiviti tenaga boleh diperbaharui (RE), pembangunan dan kemudahan di negeri itu.

 

Pengerusi Eksekutif Minetech, Datuk Dr. Awang Daud Awang Putera berkata, projek itu mewakili usaha mereka di dalam segmen RE bermula pada 2020 dan ia merupakan sebahagian daripada transformasi organisasi yang merangkumi kepelbagaian.

 

"Pergerakan ke dalam RE membolehkan kami mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi mampan yang selaras dengan inisiatif dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk menjadi lebih hijau dan memastikan kesejahteraan sosial.

 

"Projek loji kuasa hidro mini 3MW akan membolehkan kami mempamerkan kemampuan Minetech bagi mencari lebih banyak peluang dalam RE.

 

"Sebagai pelabur solar fotovoltaik berdaftar dengan SEDA dan pemilik loji kuasa solar terapung 9.99MW AC yang terletak di Pantai Remis, Perak, kami juga mampu menjual tenaga elektrik kepada agensi kerajaan, perniagaan dan individu di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih SEDA atau NEM 3.0," katanya.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek seperti itu dengan kesan limpahan positif termasuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengurangkan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar dan menjaga kesejahteraan masyarakat melalui kemajuan sosio-ekonomi.

 

Pengerusi Tesdec Hydropower, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan projek tenaga boleh diperbaharui itu yang akan membawa manfaat kepada rakyat Terengganu dengan menyediakan sumber elektrik yang stabil dan bersih yang juga boleh menyokong kuasa sandaran yang penting sekiranya berlaku gangguan atau gangguan bekalan elektrik. - DagangNews.com