MITI tubuh jawatankuasa khas sokong industri besi dan keluli capai objektif NIMP 2030 | DagangNews Skip to main content

MITI tubuh jawatankuasa khas sokong industri besi dan keluli capai objektif NIMP 2030

Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (tengah) telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa ini, yang diadakan buat julung kalinya pada 19 Januari 2024 dan turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong (dua dari kiri).
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Jawatankuasa Khas Industri Besi dan Keluli Malaysia telah ditubuhkan untuk menyemak dan menyelaraskan semula hala tujunya ke arah mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, jawatankuasa itu akan, antara lain, menilai prospek jangka pendek dan sederhana bagi industri besi dan keluli, serta menangani isu lebihan kapasiti.

 

Ia juga akan menyediakan panduan mengenai dasar, terutamanya dalam pengeluaran keluli hijau dan pembangunan produk baharu untuk menggantikan import, di samping menggalakkan eksport dan menilai isu dalam industri berkaitan keselamatan negara.

 

Mesyuarat jawatankuasa ini diadakan buat julung kalinya pada 19 Januari 2024, dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan turut dihadiri oleh Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong.

 

Tengku Zafrul Aziz berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut memastikan daya tahan dan kelestarian industri besi dan keluli Malaysia.

 

Beliau turut menekankan kepentingan mereka untuk meneroka penyelesaian dalam membantu industri mengikuti perkembangan teknologi pembuatan hijau terkini, agar sejajar dengan komitmen negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

 

“Pelaksanaan adalah keutamaan dan masa adalah penting. Oleh itu, saya telah meminta jawatankuasa ini untuk membentangkan kajian menyeluruh mereka berhubung industri besi dan keluli Malaysia dalam tempoh enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut kenyataan berkenaan, ahli jawatankuasa dilantik berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka untuk memberikan ulasan bebas terhadap industri dan strategi bagi memacu industri besi dan keluli negara.

 

 

Tengku Zafrul (tengah) bersama Jawatankuasa Khas Industri Besi dan Keluli Malaysia.
Tengku Zafrul (tengah) bersama Jawatankuasa Khas Industri Besi dan Keluli Malaysia.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Datuk Omar Siddiq dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut dan akan disokong oleh Pengarah Program Falsafah, Politik dan Ekonomi Universiti Taylor, Prof Dr Ong Kian Ming; Pengarah Eksekutif Pasaran Awam Khazanah Nasional Berhad, Datuk Hisham Hamdan; Setiausaha Agung Institut Besi dan Keluli Asia Tenggara (SEAISI), Yeoh Wee Jin; dan Rakan Kongsi Kanan McKinsey and Company Malaysia, Chen Li-Kai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Steel Institute (MSI), Jarrod Lim Keng Yow pula dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa tersebut. - DagangNews.com