MMAG gantung 2 pengarah M Jets International, tunggu keputusan siasatan SPRM | DagangNews Skip to main content

MMAG gantung 2 pengarah M Jets International, tunggu keputusan siasatan SPRM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Feb - MMAG Holdings Berhad menggantung dua pengarah M Jets International Sdn. Bhd. (MJets), M. Gunasekar dan Philip Phang Kin Ming daripada fungsi eksekutif mereka bagi menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM).

 

Tindakan itu dibuat bagi melindungi perniagaan serta kepentingan MMAG dan MJet serta memastikan kelangsungan perniagaan.

 

"MMAG sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada kedua-dua pengarah kerana mereka bertanggungjawab dalam tugasan eksekutif MJet dan urusan harian syarikat itu tanpa penglibatan MMAG.

 

"Pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan dibuat sekiranya ada sebarang perkembangan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pada 19 Februari 2023, lembaga pengarah menerima surat daripada MJets menyatakan bahawa SPRM menyerbu pejabat MJets pada 13 Februari lalu bagi mendapatkan maklumat serta dokumen berkaitan satu laporan yang dibuat kepada SPRM.

 

Selepas serbuan itu, akaun MJets turut dibekukan. 

 

MJets merupakan anak syarikat 80% milik MMAG dan 20% dimiliki oleh JT Aerotech Solutions Sdn. Bhd. (JTAS). 

 

Syarikat itu diuruskan sepenuhnya oleh Gunasekar dan Philip Phang dari JTAS dengan MMAG mempunyai akses terhad. - DagangNews.com