MMS Ventures sasar kembangkan peniagaan reka bentuk tulen pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

MMS Ventures sasar kembangkan peniagaan reka bentuk tulen pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 April - MMS Ventures Bhd (MMSV), pembuat sistem automasi berusaha untuk mengembangkan perniagaan pengeluar reka bentuk tulen (ODM) dalam keadaan jualan yang dijangka perlahan untuk segmen semikonduktor pada tahun ini.

 

Syarikat itu berkata perniagaan ODM mereka mempamerkan kekuatan dari segi reka bentuk dan pembangunannya, walaupun dipasarkan di bawah penjenamaan global.

 

Pengerusinya Tan Hock Hin berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam perniagaan ODM/pengeluar peralatan tulen (OEM) dan mereka sedang melibatkan diri dengan beberapa pelanggan bagi mendapatkan perniagaan dalam bahagian itu.

 

Segmen ODM/OEM menyumbang 20.5% daripada jumlah hasil kumpulan sebanyak RM52.87 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Beliau berkata, usaha berterusan kumpulan itu untuk menembusi industri lain telah menunjukkan kejayaan awal yang positif pada  2023 dan ia termasuk kepelbagaian platform mesinnya untuk menerima tempahan daripada pelanggan yang terlibat dalam industri peralatan perubatan.

 

“Kemajuan dan pertumbuhan dalam industri perubatan ini akan stabil dan mantap.

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan kejayaan ini dan meluaskan perniagaa serta pangkalan pelanggan kami dari semasa ke semasa,” katanya dalam laporan Tahunan MMSV, hari ini, lapor Bernama.

 

Beliau berkata MMSV juga menjangkakan pelanggan telefon pintarnya akan kekal dengan produk-produk generasi semasa 5G.

 

“Dengan sedikit perubahan pada ciri-ciri sedia ada untuk produk mereka, kami menjangkakan pesanan daripada segmen ini akan menjadi perlahan pada  2023,” katanya.

 

Dalam  laporan tahunan itu juga, MMSV berkata sejajar dengan kemerosotan mendadak dan berpanjangan dalam industri semikonduktor, ditambah dengan perubahan minimum dalam ciri-ciri peranti pintar, jualan daripada segmen itu dijangka kekal perlahan pada 2023.

 

Syarikat itu berkata, permintaan untuk kedua-dua lampu automotif dan am dijangka berkurangan pada tahun ini.

 

“Bagaimanapun, terdapat petunjuk yang positif daripada peningkatan secara beransur-ansur dalam permintaan oleh pelanggan segmen lain pada separuh kedua 2023 dan seterusnya,” katanya.

 

MMSV menyatakan bahawa persaingan daripada pemain tempatan dan luar negara telah menjadikan perniagaan semakin mencabar.

 

“Selain pembuat peralatan daripada pasaran tempatan, kami juga menghadapi saingan sengit dari Asia dan Eropah. Untuk kekal berdaya saing, kami akan mengukuhkan kedudukan kami untuk menjual mesin dengan reka bentuk yang cekap tanpa menjejaskan kualitinya,” katanya. - DagangNews.com