MN Holdings peroleh kontrak RM136.2 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan pencawang pusat data di Johor | DagangNews Skip to main content

MN Holdings peroleh kontrak RM136.2 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan pencawang pusat data di Johor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Syarikat utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holdings Bhd menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd memperoleh kontrak kejuruteraan pencawang bagi pusat data bernilai RM136.2 juta di Johor.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu diterima daripada pelanggan yang menyediakan perkhidmatan pusat data (Pelanggan A).

 

Menerusi kontrak itu, mereka akan terlibat dengan kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan, penyelenggaraan, pengujian dan pentauliahan bagi stesen pendaratan (CLS) baharu 275 kilovolt (kV).

 

Ia juga termasuk kerja bangunan utama, rumah pengawal dan kerja luar, serta pembongkaran dan penempatan semula CLS Kontena 33/11kV sedia ada kepada CLS Interim 33/11kV baharu untuk Pelanggan A di bawah Pakej 2.

 

"Kemenangan kontrak terbaharu itu adalah tambahan kepada kontrak sebelumnya yang dimenangi di bawah Pakej 1 bagi pelaksanaan kerja tanah, tembok penahan dan kerja cerucuk untuk CLS yang sama dengan nilai kontrak RM7.1 juta.

 

"Kontrak itu akan bermula pada Julai 2024 dan menyasarkan untuk disiapkan menjelang Jun 2025," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 

Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang berkata, dengan lebih banyak pusat data dalam perancangan di Johor dan Selangor, kumpulan itu bersedia untuk membida lebih banyak projek dalam kategori pusat data.

 

Beliau berkata, kami tidak melihat kelembapan dalam projek infrastruktur kuasa pada tahun-tahun akan datang kerana Malaysia telah menarik lebih 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lepas, meletakkannya di landasan untuk menjadi hab pusat data baharu di Asia Tenggara.

 

"Termasuk kemenangan kontrak terbaharu, secara keseluruhannya, MN Holdings meraih RM291.5 juta kontrak pusat data yang akan membuatkan kami sibuk bagi tempoh dua tahun akan datang.

 

"Selain daripada kontrak pusat data, kumpulan juga memperoleh projek daripada pemilik projek solar berskala besar," katanya,

 

Katanya, pada suku kedua, kumpulan itu telah memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk loji solar fotovoltaik LSS di Kedah dengan jumlah kontrak RM26 juta.

 

Selain itu mereka turut menerima kontrak bernilai RM1.26 juta bagi membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliahkan sistem fotovoltan solar untuk kerja-kerja pemulihan empat stesen hibrid solar di Perak, Kelantan dan Johor. - DagangNews.com