Model pembangunan negara perlu dikaji semula - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Model pembangunan negara perlu dikaji semula - Tengku Zafrul

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 16 Mac - Malaysia perlu mengkaji semula model pembangunan yang membolehkan negara beralih daripada negara berpendapatan rendah kepada berpendapatan pertengahan bagi memenuhi cabaran masa depan.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuklah langkah penetapan dasar  serta peranan kerajaan dan institusi perlu diteliti semula untuk meningkatkan pertumbuhan masa depan sosioekonomi Malaysia. 

 

Katanya, walaupun ekonomi Malaysia berada di landasan pemulihan tahun ini seperti diunjurkan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi negara tidak terlepas berdepan pelbagai cabaran terutama persediaan ke arah negara berpendapatan tinggi. 

 

"Ini jelas menunjukkan kejayaan yang kita capai bukan satu jaminan. Malaysia tidak terkecuali berdepan cabaran krisis pandemik global, kemerosotan ekonomi di seluruh dunia dan juga krisis hutang antarabangsa yang semakin meningkat. 

 

"Dalam masa sama, pertikaian dagangan global juga meningkatkan risiko, potensi rantaian nilai global dan impak gangguan teknologi yang boleh mengubah dinamik sosioekonomi negara," katanya. 

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laporan Bank Dunia bertajuk Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development pagi ini.

 

Turut serta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Naib Presiden Serantau World Bank Group, Victoria Kwakwa.

 

Menerusi laporan itu, Bank Dunia menjangkakan Malaysia mampu mencapai negara ekonomi berpendapatan tinggi antara 2024 hingga 2028.

 

Menurut Tengku Zafrul, dalam usaha meletakkan Malaysia di landasan pemulihan dan pertumbuhan semula ekonomi, Kementerian Kewangan memberi tumpuan kepada 6 fokus utama tahun ini seperti berikut :

 

  • Mewujudkan pekerja. Kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri dalam usaha mewujudkan 500,000 pekerjaan tahun ini

 

  • Bantuan. Memastikan rakyat yang terjejas terus menerima bantuan bersasar seperti Bantuan Prihatin Rakyat, bantuan kebajikan dan sosial kepada golongan miskin tegar dan bantuan bayaran semula bersasar

 

  • Pendigitalan. Kerajaan akan meneruskan pelan keterhubungan kebangsaan, Jendela dan mempercepatkan pelancaran pembangunan infrastruktur 5G

 

  • Mandat GLC dan GLIC. Menyemak semula peranaan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dengan fokus antaranya, strategik pelaburan domestik, pembangunan vendor bumiputera dan tanggungjawab sosial korporat

 

  • Memperkukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

 

  • Mempercepatkan pelaksanaan projek spesifik yang akan memacu pemulihan ekonomi termasuk menyokong projek berskala kecil dan mempermudahkan proses perolehan   

 

Beliau berkata, memandangkan Malaysia meletakkan kedudukannya dalam fasa pembangunan akan datang, usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan akan melengkapi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

"Meskipun berdepan cabaran pandemik, Malaysia komited untuk mencapai negara berpendapatan tinggi justeru, Malaysia perlu mewujudkan landasan baharu bagi mencapai pertumbuhan lebih kepada berintensifkan pengetahuan dan pertumbuhan dipacu produktiviti," katanya. 

 

Berdasarkan Laporan Bank Dunia, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia berada pada AS$11,200, kurang kira-kira AS$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi. - DagangNews.com