Mohon ‘Bantuan Bakul Makanan’ jika terputus bekalan - Rina | DagangNews Skip to main content

Mohon ‘Bantuan Bakul Makanan’ jika terputus bekalan - Rina

Rina Mohd Harun
 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Rakyat yang terputus bekalan makanan diminta untuk memohon Bantuan Bakul Makanan yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih). 

 

Mereka yang memerlukan boleh menghubungi pusat khidmat wakil rakyat di kawasan masing-masing, jelas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, sebanyak 1.5 juta bakul makanan telah telah diedarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

 

“Bantuan Bakul Makanan berkenaan sudah dimanfaatkan kira-kira enam juta isi rumah. 

 

“Peruntukan RM300,000 bagi bakul makanan yang disalurkan melalui wakil rakyat akan meningkatkan jumlah penerima bakul makanan selepas ini,” katanya menurut laporan Bernama.

 

Dalam pengumuman Pemulih oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiap wakil rakyat diperuntukkan RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan.

 

Baca : Bantuan Bakul Makanan: Setiap Ahli Parlimen diperuntuk RM300,000

 

Rina menekankan bahawa wakil rakyat perlu prihatin dengan keadaan golongan yang terjejas COVID-19 di kawasan mereka.

 

Sementara itu, beliau melihat inisiatif mengibar ‘bendera putih’ yang tular di media sosial dapat membantu rakyat tercicir untuk menerima bantuan.

 

Sejak awal tahun ini, Rina berkata, sebanyak 23,000 nama disenaraikan sebagai penerima baharu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - DagangNews.com