Moody’s Ratings jangka terbitan sukuk global mengatasi paras RM870 bilion pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Moody’s Ratings jangka terbitan sukuk global mengatasi paras RM870 bilion pada tahun ini

KUALA LUMPUR 10 Sept - Moody’s Ratings menjangkakan jumlah terbitan sukuk global tahun ini berada antara AS$200 bilion (RM870.29 bilion) dan AS$210 bilion (RM911.6 bilion) mengatasi jumlah keseluruhan di bawah AS$200 bilion pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti itu disokong oleh terbitan Sukuk Berdaulat yang kukuh di seluruh Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia Tenggara, khususnya dari Malaysia dan Arab Saudi.

 

Bagaimanapun, mereka menyatakan, kadar terbitan akan bergerak perlahan pada separuh kedua 2024 kepada AS$80 bilion (RM347.4 bilion) hingga AS$90 bilion (RM390.8 bilion).

 

Katanya, terbitan itu kekal kukuh di negara-negara GCC, memandangkan kerajaan rantau ini terus meneruskan strategi untuk mempelbagaikan ekonomi mereka daripada hasil minyak.

 

"Penerbitan oleh syarikat bukan kewangan dan institusi kewangan akan didorong oleh gabungan faktor, termasuk kemasukan semula pasaran selepas kelewatan, penerbit mempelbagaikan sumber pembiayaan atau asas pelabur, dan tumpuan kepada penerbitan sukuk mampan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini, lapor Bernama.

 

Mengulas mengenai prospek jangka panjang, Moody’s melihat potensi pertumbuhan yang ketara pada tahun-tahun akan datang, disokong oleh peningkatan permintaan untuk instrumen sukuk.

 

Kumpulan pelabur dijangka terus berkembang, didorong oleh peningkatan populariti produk Islam melangkaui pasaran teras Islam, peningkatan permintaan untuk sukuk hijau dan mampan, serta peningkatan kecanggihan dan kepelbagaian instrumen Islam.

 

Berikutan pertumbuhan pesat pada 2023, dengan rekod terbitan sebanyak AS$10.6 bilion (RM46.03 bilion), Moody's juga menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam pasaran sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), didorong oleh permintaan pelabur yang kukuh dan peningkatan minat daripada negara yang ingin mempelbagaikan asas pembiayaan mereka.

 

Jumlah sukuk ESG mencecah AS$6 bilion (RM25.06 bilion) pada separuh pertama tahun ini, didorong terbitan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Arab Saudi.- DagangNews.com