Moratorium: AFFINBANK berdepan implikasi kos RM80j | DagangNews Skip to main content

Moratorium: AFFINBANK berdepan implikasi kos RM80j

AFFINBANK

KUALA LUMPUR 28 Julai - Susulan pelaksanaan moratorium sejak April lalu, AFFIN Bank Berhad terpaksa berdepan dengan implikasi kos yang dianggarkan berjumlah RM80 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, jumlah kos tersebut terpaksa ditanggung pihaknya berikutan pengecualian caj faedah ke atas pinjaman.

"Kami lihat sekiranya pelaksanaan moratorium dilanjutkan lagi ia akan memberi kesan kepada perbankan itu sendiri.

"Oleh itu, sektor perbankan sekarang sedang berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memberi bantuan kewangan lain kerana moratorium ini membabitkan kos yang besar," jelasnya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) AFFINBANK ke-44 semalam.

Moratorium adalah salah satu inisiatif dalam 80 langkah yang diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank-bank tempatan lain bagi membantu individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengurangkan beban aliran tunai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BNM dalam mesyuarat maya bersama-sama penganalisis ekonomi sebelum ini mengesahkan tempoh moratorium September ini mungkin tidak akan dilanjutkan, sebaliknya peminjam akan ditawarkan bantuan kewangan berbentuk skim penstrukturan dan penjadualan semula (R&R).

Semalam pula, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu, moratorium tersebut memberi manfaat kepada lebih 7.7 juta rakyat melibatkan 9.3% peminjam dalam kalangan individu dan 95% peminjam PKS merangkumi lebih 243,000 perniagaan.

Selepas berakhir tempoh moratorium ini, bantuan bersasar turut dipertimbangkan kepada golongan yang masih tidak mampu membuat bayaran pinjaman ekoran kehilangan pekerjaan atau disebabkan oleh sektor ekonomi yang terjejas.

Jelas Zafrul, hingga kini pihak bank telah menghubungi 394,000 peminjam untuk menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu peminjam yang masih terjejas. - DagangNews.com