Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi menegaskan semua pihak yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan terus dibantu oleh pihak bank bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.
"Terlalu banyak salah faham yang disebarkan mengenai bantuan pembayaran semula bersasar ini, sedangkan BNM menerusi institusi perbankan bersedia membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini dan tidak terhad kepada B40 mahupun M40," kata gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan lanjutan pembayaran semula dalam Belanjawan 2021, minggu lalu, banyak pihak membangkitkan sejauh mana keupayaan kerajaan dan sektor perbankan dalam hal tersebut terutama ketika negara berdepan dengan krisis COVID-19, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kerajaan pada April lalu melaksanakan pemberian moratorium menyeluruh selama enam bulan sehingga 30 September lalu bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.
Dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2020 secara maya hari ini, beliau menjelaskan, langkah pemberian moratorium secara menyeluruh kepada semua golongan bukanlah sesuatu yang baik kepada ekonomi negara.
"Bila kerajaan meletakkan duit dalam poket rakyat, akan berlaku banyak gangguan kepada ekonomi," tegasnya.
Ini kerana jelas beliau, langkah itu akan mengekang pinjaman baharu kepada isi rumah dan perniagaan kerana bank kekurangan penampan dan menjadikannya lebih berisiko.
Keadaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap hutang secara keseluruhan sekali gus mengekang
pertumbuhan dan merugikan ekonomi kerana semakin banyak yang berhadapan dengan masalah hutang tinggi.
Beliau berkata, bagaimanapun peminjam yang berkemampuan seharusnya menjelaskan hutang.
"Tambahan pula, kedudukan hutang ketika ini tidak stabil, dengan hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sekitar 90%, iaitu paras tertinggi direkodkan Malaysia setakat ini," katanya.
Menurut Shamsiah, satu lagi perkara yang kurang difahami mengenai pemberian moratorium ini sekiranya ia diteruskan juga, akan merosakkan kepentingan berjuta pendeposit yang bergantung kepada bank untuk menjaga simpanan mereka.
Katanya, ia juga menjejaskan rakyat yang menjadi pemegang saham bank melalui simpanan mereka dalam institusi seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
"Dalam hal ini, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap kestabilan sektor perbankan adalah sesuatu yang kita mesti jaga dan bukannya sesuatu yang kita harus sia-siakan.
"Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan apa kesan tindakan kita hari ini, tetapi bagaimana untuk membentuk kepercayaan terhadap sistem perbankan pada masa hadapan," katanya.
Beliau mengingatkan setiap tindakan yang dilakukan oleh rakyat ketika ini, perlu diketahui bahawa bank melindungi simpanan yang diperoleh semua rakyat.
Menurutnya, selepas moratorium tamat pada September, 85% peminjam telah membayar balik pinjaman dan jumlah ini akan meningkat berdasarkan situasi pemulihan ekonomi.
Dalam erti kata lain, ujarnya, ramai peminjam boleh melunaskan hutang mereka dan ini adalah petanda yang menggalakkan bagi ekonomi negara.
"Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dalam kalangan bank juga mendapati, 43% daripada pembayaran semula ini terdiri daripada kalangan peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, yang mana ini juga termasuk golongan B40," katanya. - DagangNews.com