MoU melibatkan pengambilan pembantu rumah Indonesia akan dimuktamadkan | DagangNews Skip to main content

MoU melibatkan pengambilan pembantu rumah Indonesia akan dimuktamadkan

Ismail Sabri (kiri) bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di beranda Istana Bogor sebelum mesyuarat dua hala mereka hari ini.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pengambilan serta perlindungan pembantu rumah dari Indonesia (PDI) di Malaysia akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan MoU itu sedang berjalan di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

 

"Saya dan Bapak Presiden mengambil maklum mengenai kemajuan proses bagi memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

 

"Kami percaya isu-isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada sidang media bersama Joko Widodo sempena lawatan rasmi ke republik itu, lapor Berita Harian.

 

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini tetap dipelihara.

 

Ismail Sabri berkata, langkah itu turut dicerminkan melalui kelulusan pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) tahun lalu, yang turut menjamin keselesaan penginapan pekerja, rakyat asing, selain rakyat Malaysia.

 

Beliau menyatakan penghargaan Malaysia terhadap sumbangan pekerja migran warganegara Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat negara ini, dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam lawatan sulungnya ke negara itu sebagai Perdana Menteri Malaysia.

 

"Saya telah memberi jaminan kepada Bapak Presiden, Kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara," katanya.

 

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang dilanjutkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia.

 

Dalam pada itu, Malaysia tetap dengan pendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman,

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara perlu menjadi asas utama berhubung pendirian serta tindakan yang akan diambil.

 

"Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif. Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of international law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung  Undang-Undang Laut 1982," kata beliau.-DagangNews.com