KUALA LUMPUR 16 Feb - Peruncit perkakas rumah terkemuka negara, MR D.I.Y menyediakan kit ujian kendiri calitan hidung di lebih 900 cawangannya di seluruh Malaysia bermula Januari 2022.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, varian Omicron sedang tersebar dengan pantas dan amat penting untuk kita menggiatkan usaha menjalankan ujian kendiri, terutamanya di sekolah, pejabat, kilang dan rumah.
Beliau berkata, atas tujuan itu, MR D.I.Y. menjalinkan kerjasama rapat dengan para pembekal untuk membawa masuk kit ujian kendiri air liur tahun lalu melalui pembelian pukal bagi menjadikan kit ujian kendiri itu lebih mudah didapati pada harga mampu milik.
“Kami sedar bahawa kit ujian kendiri air liur tidak sesuai untuk semua orang, terutamanya kanak-kanak dan warga emas yang mendapati ia agak sukar untuk digunakan, jadi kami mendapatkan kit ujian kendiri calitan hidung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Alex berkata, pihaknya turut mengedarkan lebih 1,000 kit ujian kendiri calitan hidung dan pelitup muka ke 23 rumah kebajikan di seluruh negara, dalam usaha membantu membendung penyebaran jangkitan tersebut dalam kalangan komuniti yang paling memerlukan di Malaysia.
"Usaha untuk mengedarkan kit ini kepada komuniti yang memerlukan adalah satu lagi cara kami untuk membantu meminimumkan risiko kepada komuniti ini.
"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pemilik dan pasukan petugas di rumah-rumah kebajikan ini yang telah bekerjasama dengan kami untuk memastikan kit ujian kendiri calitan hidung ini sampai kepada komuniti mereka," katanya.
Kit ujian kendiri calitan hidung, air liur, dan wisel serta peralatan perlindungan lain seperti pelitup muka, pembersih tangan dan pelindung muka boleh didapati di cawangan-cawangan Kumpulan MR D.I.Y. di seluruh negara. - DagangNews.com