MSM diunjur terus catat kerugian pada 1HFY23 kesan peningkatan kos gula mentah, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

MSM diunjur terus catat kerugian pada 1HFY23 kesan peningkatan kos gula mentah, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan MSM Malaysia Holdings Berhad terus mencatatkan kerugian pada 1HFY23 dan hanya akan kembali mencatatkan keuntungan pada 2Q-3QFY23 selepas menggantikan salah satu dandang penapisnya di kilang Johor.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga berdepan beberapa cabaran lain termasuk kos penapisan lebih tinggi dan peningkatan kos gula mentah.

 

"Kami bimbang dengan kemajuan untuk menjadikan MSM Johor kembali mencatatkan keuntungan serta peningkatan kos input dan penapisan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pengeluar gula bertapis terkemuka merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM179 juta bagi 12 bulan berakhir 31 Disember 2022, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM81 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Ia disebabkan oleh tekanan margin yang berpanjangan bagi harga kawalan segmen runcit domestik dan tanpa sebarang subsidi.

 

Hasil bagi suku keempat tahun kewangan 2022 ialah RM678 juta berbanding RM642 juta bagi suku yang sama tahun lalu, manakala untuk 12 bulan tahun kewangan 2022, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM2.56 bilion, peningkatan 13% daripada RM2.26 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Peningkatan dalam harga jualan purata (ASP) yang diperoleh daripada premium industri yang lebih tinggi dan peningkatan premium eksport adalah penyumbang utama kepada peningkatan dalam hasil.

 

Firma itu kekal negatif terhadap kumpulan itu disebabkan ketidakupayaannya untuk menaikkan kadar penggunaan kilang penapisannya di Johor, peningkatan kos gula mentah, bahan api dan tenaga kerja serta peningkatan kos pinjaman.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) 5.75 sen sesaham. - DagangNews.com