MST Golf kembangkan perniagaan ke pasaran Indonesia menerusi jalinan kerjasama dengan Erajaya Active Lifestyle | DagangNews Skip to main content

MST Golf kembangkan perniagaan ke pasaran Indonesia menerusi jalinan kerjasama dengan Erajaya Active Lifestyle

Pengarah Eksekutif MST Golf, Ng Yap (dua dari kiri) memeterai perjanjian kerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Erajaya Active Lifestyle, Djohan Sunto (dua dari kanan) bagi mengembangkan perniagaan di Indonesia.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 April - MST Golf Group Berhad mula memasuki pasaran Indonesia dengan mewujudkan syarikat kerjasama bersama peruncit utama di negara itu.

 

Syarikat itu, hari ini memeterai Memaorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Sinar Eka Selaras, penyedia penyelesaian runcit dan pengedaran pelbagai jenama di Indonesia dengan nama Erajaya Active Lifestyle.

 

Ini menandakan usaha peruncitan golf sulung MST Golf di Indonesia.

 

"Syarikat itu akan melaksanakan penubuhan dan operasi perniagaan runcit golf dan pusat golf dalaman di bawah jenama 'MST Golf' dan 'MST Golf Arena'," kata syarikat itu.

 

MST Golf berkata, syarikat kerjasama itu akan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua rakan kongsi sebagai peruncit pakar golf, serta rekod prestasi dan reputasi Erajaya Active Lifestyle sebagai peruncit terkemuka Indonesia bagi produk pengguna dan gaya hidup aktif.

 

Katanya, sebagai peruncit golf terkemuka di Malaysia, MST Golf  membawa kepakarannya dalam peruncitan golf, produk dan perkhidmatan pelanggan dengan sokongan jenama yang kukuh ke pasaran Indonesia.

 

"Erajaya Active Lifestyle akan menyediakan kepakarannya dalam pengimportan dan pengurusan rantaian bekalan, mendapatkan lokasi runcit berpotensi tinggi di pusat beli-belah dan hartanah komersial lain yang sesuai, sumber manusia, perhubungan kerajaan dan urusan pematuhan pihak berkuasa tempatan untuk menyokong pengembangan perniagaan," katanya.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MST Golf, Ng Yap berkata, perkongsian itu akan memberi tambah nilai kepada kedua-dua syarikat.

 

Beliau berkata, pengembangan ke pasaran Indonesia adalah sebahagian daripada strategi perniagaan utama dan rancangan  MST Golf untuk berkembang ke pasaran baharu.

 

“Kami sangat teruja dengan pasaran Indonesia dengan populasinya yang semakin meningkat, muncul golongan muda yang mewah dan kelas pertengahan yang menyumbang kepada kerancakan pasaran, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang teguh secara keseluruhan," katanya.

 

MST Golf sebelum ini menyerahkan permohonan tawaran awam permulaannya (IPO) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan sedang berusaha untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia..

 

MST Golf merancang untuk mengembangkan perniagaan di pasaran Thailand dan Vietnam. - DagangNews.com