Mudajaya, Concord New Energy bekerjasama bida projek RE di Asia Tenggara, China | DagangNews Skip to main content

Mudajaya, Concord New Energy bekerjasama bida projek RE di Asia Tenggara, China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - Mudajaya Group Berhad bekerjasama dengan Concord New Energy Group Ltd. (CNE), sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong untuk bersama-sama membida tender bagi melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya Mudajaya Energy Sdn. Bhd. yang mengendalikan loji janakuasa di Malaysia dan Indonesia sedang meneroka peluang untuk membangunkan projek sedemikian di Asia Tenggara dan China.

 

Mudajaya berkata, usaha yang dicadangkan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk mengembangkan segmen kuasa dan tenaga semasanya, yang dijangka mengukuhkan pendapatan masa depannya.

 

CNE, yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, terlibat dalam pembangunan dan operasi loji kuasa (terutamanya dalam tenaga boleh diperbaharui) di China.

 

"Mudajaya Energy dan CNE akan membentuk usaha sama tidak diperbadankan pada asas 50:50 untuk membangunkan dan membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, terutamanya dalam loji janakuasa tenaga solar dan angin," katanya.

 

Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak ini akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun. - DagangNews.com