MyEG dijangka terima manfaat besar sekiranya NIISe dibatalkan, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

MyEG dijangka terima manfaat besar sekiranya NIISe dibatalkan, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pembatalan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) dijangka memberi manfaat kepada MyEG Services Berhad kerana ia membolehkan kumpulan itu meningkatkan peluang menyambung kontrak.

 

Menurut laporan media, kerajaan dilaporkan akan membatalkan kontrak RM1 bilion untuk projek NIISe, hanya 10% daripada projek telah siap, dan sekiranyaia dibatalkan, firma itu percaya ia adalah perkembangan positif kerana projek NIISe ditetapkan untuk menggantikan sistem myIMM yang digunakan oleh Jabatan Imigresen, yang telah beroperasi selama lebih 20 tahun.

 

Sistem myIMM disalurkan kepada vendor, antaranya MyEG.

 

Firma itu menjangkakan, perkara itu memberikan lebih kejelasan dan pandangan yang lebih kukuh kepada perniagaan teras MyEG, bahagian pengangkutan jalan dan imigresen, yang sedang menjalani proses pembaharuan.

 

"Bagaimanapun, jika perkhidmatan imigresen dipindahkan kembali ke jabatan Imigresen, kami menjangkakan pendapatan MyEG menyusut sebanyak 20% bagi jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan NIISe.

 

Iris Corp Berhad telah dianugerahkan projek itu pada Mac 2021, tetapi sehingga Mac 2023, kemajuan tidak memuaskan.

 

Setakat ini, Kabinet telah memberi tempoh sehingga April 2023 kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyerahkan memo mengenai projek itu.

 

"Pada pandangan kami, keadaan semasa projek NIISe tidak mungkin menghalang keupayaan MyEG untuk mendapatkan lanjutan tiga tahun lagi untuk konsesi e-kerajaan mereka pada Mei 2023, memandangkan rekod prestasinya yang cemerlang," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah RM1.00 sesaham.

 

"Prestasi cemerlang MyEG dan rekod prestasi kukuh menunjukkan bahawa status projek NIISe yang tidak dapat diselesaikan akan memberi sedikit impak kepada prospek masa depan syarikat," katanya. - DagangNews.com