KUALA LUMPUR 10 Nov - MyNews Holdings Berhad sedang meneroka peluang perniagaan baharu di hospital swasta dan kerajaan dengan tujuan memanfaatkan kehadiran trafik tinggi yang kosisten di lokasi itu.
RHB Investment berkata, pengembangan teguh jenama Mynews akan menjadi pemacu utama bagi mengimbangi kerugian daripada unit perniagaan lain kerana ia telah memberikan prestasi yang mantap walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, kumpulan itu memiliki kelebihan dari segi penawaran produk dan susun atur kedai yang membolehkannya memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai di lokasi yang berbeza.
"Bagi mengecilkan kerugian CU, Mynews mengintai kecekapan operasi yang dipertingkatkan melalui latihan kakitangan dan integrasi teknologi termasuk analisis data bagi meningkatkan produktiviti serta memperhalusi penawarannya.
"Mereka juga merancang menjadi lebih disasarkan berbanding pelaburan pemasaran dan lebih cekap dengan perbelanjaan penyelenggaraan.
"Pengurusan menjangkakan pemulihan pendapatan antara enam hingga 12 bulan selepas mempertimbangkan persekitaran pasaran lemah secara keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, telah meningkatkan pegangannya dalam MyNews kepada 13.85% daripada 10.02% pada pertengahan Julai menerusi JAG Capital Holdings Sdn Bhd.
MyNews menunjukkan bahawa JAG Capital memperoleh 240,000 saham MyNews dalam pasaran terbuka pada 23 Oktober, dan tambahan 28.50 juta saham pada hari berikutnya, melalui transaksi urus niaga luar pasaran.
JAG Capital muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar MyNews pada pertengahan Julai 2023.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan itu dengan menjangkakan kerugian akan terkawal memandangkan sumbangan progresif daripada Mynews dan pengurangan kerugian di CU yang berpotensi membawa kepada pemulihan pada FY24.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko seperti kelewatan dalam pemulihan CU dan sentimen pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Saya mengekalkan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) 54 sen," katanya. - DagangNews.com