KUALA LUMPUR 20 Sept - Platform jualan kereta dalam talian, myTukar membuka tiga pusat pameran baharu di Pulau Pinang, Melaka dan Johor sebagai sebahagian daripada matlamat untuk mengukuhkan kehadiran fizikal syarikat di seluruh Malaysia.
Pusat pameran baharu itu mencerminkan komitmen myTukar dalam memberikan pengalaman terbaik ketika membeli kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng berkata, ketiga-tiga pusat pameran itu teletak di kawasan trafik tinggi dan di kawasan tumpuan pemain utama industri automotif dan membolehkan pelanggan menyaksikan sendiri kenderaan terbaharu di pusat itu.
Beliau berkata, dengan kawasan binaan antara 4,000 kaki persegi hingga 184,618 kaki persegi, pusat pameran baharu itu dapat menempatkan sehingga 500 kenderaan.
"Strategi baharu itu menyasarkan untuk membantu mengembangkan jenama myTukar dan pusat pameran itu meliputi kawasan yang belum diterokai selain meluaskan tawaran serta perkhidmatan kami.
"Selaras dengan usaha penjenamaan semula, kami komited menyediakan pengalaman terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pertambahan pusat pameran baharu itu menyaksikan, myTukar memiliki 30 cawangan di seluruh negara.
MyTukar dijenamakan pada Julai 2022 dan merupakan sebahagian daripada rangkaian Carro dan ia boleh memanfaatkan kelebihan jenama itu termasuk kelebihan teknologi, data perniagaan dan pengetahuan teknikal.
Dalam usaha memudahkan proses pemilikan kereta, myTukar memperkenalkan trak flatbed yang akan menghantar terus kenderaan ke rumah pelanggan. - DagangNews.com