Nationwide Ekspress tingkatkan e-dagang dengan pengenalan sistem IT dan beg kurier dinaik taraf | DagangNews Skip to main content

Nationwide Ekspress tingkatkan e-dagang dengan pengenalan sistem IT dan beg kurier dinaik taraf

 

SHAH ALAM 1 Feb – Nationwide Express Courier Services Berhad hari ini mengumum akan mengembangkan perniagaan e-dagang dengan pengenalan sistem IT dan beg kurier baru seiring dengan peningkatan permintaan untuk konsainmen kecil.

 

Sistem IT yang dibangunkan secara dalaman antara lain menyediakan aplikasi kurier yang ditingkatkan dan platform B2C yang membolehkan pelanggan melakukan kemas kini penjejakkan secara langsung.  Ia juga akan membantu syarikat untuk membuat analisis terperinci untuk meningkatkan lagi perkhidmatan.

 

Nationwide Express juga telah mereka bentuk semula beg kurier untuk lebih dari 350 kurier motosikalnya bagi membolehkan penghantaran konsainmen yang lebih banyak sambil memastikan kaedah penghantaran yang lebih efektif dan selamat kepada pelanggan.

 

Bercakap semasa pelancaran sistem IT dan beg kurier yang baru, Ketua Pegawai Eksekutif Nationwide Express, Wan Mohamed Den berkata, Nationwide Express telah mula mengembangkan perniagaan B2C sejak tahun lalu untuk memenuhi lonjakan perniagaan e-dagang sejak bermulanya pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

“Secara tradisinya, 95% perniagaan kami berasal dari B2B tetapi sejak awal tahun 2020, perniagaan B2C telah berkembang pesat kerana pelanggan lebih selesa dengan penggunaan platform digital dan atas talian.  Dengan pengenalan sistem dan beg kurier yang baru, pelanggan dan pemilik perniagaan akan mendapat ketenangan minda."

 

nationwide
WAN MOHAMED DEN (kanan) pada majlis pelancaran sistem IT dan beg kurier Nationwide Express baharu di Shah Alam pada 1 Februari 2021. 


Nationwide Express berpendapat inisiatif ini sebagai salah satu langkah penjenamaan semula untuk mempromosikan kehadiran jenama Nationwide Express seiring dengan program transformasinya, "Kembali Kepada Keuntungan" yang dilancarkan pada Februari 2020.

 

"Sejak saya menerajui syarikat setahun yang lalu, salah satu tugasan besar yang dipertanggungjawabkan kepada saya adalah untuk memperbaiki kewangan Syarikat, sekaligus membawa keluar syarikat dari kepompong PN17. Dengan peralihan keperluan perniagaan dan untuk terus berdaya saing, saya berpendapat bahawa ini adalah masa yang tepat bagi saya untuk meneroka jalan lain untuk meningkatkan perolehan.

 

Selain daripada penjualan tanah pada harga RM19.4 juta, antara inisiatif lain yang dilakukan untuk menyusun semula keadaan kewangan syarikat adalah strategi transformasi kami untuk meningkatkan penjualan B2C serta beberapa strategi pengoptimuman dan pengurangan kos.  Inisiatif yang dilakukan setakat ini telah membuahkan hasil kerana kerugian pada tahun ini telah berkurangan kepada RM1 juta sebulan berbanding dengan kerugian sebanyak RM2 juta sebulan pada tahun kewangan sebelumnya,” kata Wan Den.

 

Sebagai penyedia perkhidmatan perlu, Nationwide Express beriltizam untuk beroperasi seperti biasa di sepanjang masa Perintah Kawalan Pergerakan untuk melayani pelanggan serta memastikan pengiriman mereka tiba tepat pada waktunya.  Semua cawangan dan ejen Nationwide Express yang terletak di seluruh Malaysia akan terus dibuka pada hari bekerja setiap hari dari hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

 

Malahan, untuk memenuhi keperluan masyarakat, Nationwide Express telah mempertingkatkan waktu operasi pada hujung minggu di cawangan terpilihnya iaitu di Shah Alam, Ipoh, Kuantan dan Kulai dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Sabtu dan dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang setiap Ahad. - DagangNews.com