KUALA LUMPUR 1 Julai - Nestcon Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM230 juta bagi projek pembangunan bercampur di Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Syarikat yang baru disenaraikan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Nestcon Builders Sdn Bhd, menerima surat lantikan daripada arkitek projek Tan’ck Architect, yang bertindak sebagai mewakili pemaju Mightyprop Sdn Bhd, untuk menjalankan kerja-kerja tanah, asas, substruktur, kerja bangunan utama dan infrastruktur.
Ia adalah bagi pembinaan blok bangunan pangsapuri berperkhidmatan 46 tingkat terdiri daripada 593 unit, podium empat tingkat dengan kemudahan berkaitan lain, 27 unit lot runcit dan parkir bawah tanah lima tingkat, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lapor Bernama.
Pembayaran akan dibuat kepada Nestcon Builders secara progresif berdasarkan kepada kerja sebenar yang dilakukan seperti yang dinilai dan diperakui oleh arkitek, kata penyedia perkhidmatan pembinaan itu.
“Tarikh permulaan projek adalah pada 1 Julai, 2021, dan tempoh pembinaan bagi projek itu adalah dalam tempoh 40 bulan daripada tarikh permulaan,” kata Nestcon.
Syarikat itu yang memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE pada 29 Jun, berkata kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aset sesaham bersihnya, pendapatan sesaham dan tahap kadar hutang bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2021 dan sepanjang tempoh projek tersebut. - DagangNews.com