Nestcon raih kontrak RM165 juta bagi kerja-kerja pembersihan tapak di Mukah | DagangNews Skip to main content

Nestcon raih kontrak RM165 juta bagi kerja-kerja pembersihan tapak di Mukah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Nestcon Berhad dilantik sebagai kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tapak, kerja tanah dan kerja sampingan di CBS 2, Blok 1, Sungai Bakau, Balingian Coalfield, Mukah, Sarawak.

 

Kontrak bernilai RM165 juta diberikan kepada anak syarikat Nestcon, Nestcon Infra Sdn. Bhd. daripada BARA Mining & Construction Sdn. Bhd. dan ia tertakluk kepada penilaian bersama dan hasilnya sebagai jumlah kontrak akhir.

 

Kontrak berkenaan akan berkuat kuasa selama 24 bulan bermula 20 September 2022 hingga 19 September 2024 dengan pilihan lanjutan masa selama 24 bulan berdasarkan kepada notis bertulis tidak kurang daripada 30 hari daripada tarikh tamat kontrak asal.

 

"Nestcon Infra akan melaksanakan projek berkenaan mengikut peraturan, spesifikasi, kelulusan dan keperluan yang ditetapkan serta diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

 

"BARA dan Nestcon Infra hendaklah menandatangani kontrak rasmi bersama dokumen sokongan yang diperlukan dalam masa 21 hari sebelum kontrak berkenaan dilaksanakan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Penerimaan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sepanjang tempoh kontrak.

 

Kumpulan itu tidak melihat sebarang risiko selain daripada risiko operasi normal berkaitan projek itu.

 

Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah bersesuaian untuk mengimbangi risiko sekiranya ada. - DagangNews.com