KUALA LUMPUR 16 Ogos - TA Securities menjangkakan peningkatan kos sara hidup dijangka membuatkan nisbah pinjaman terjejas ELK-Desa Resources Bhd bagi segmen pembiayaan sewa beli terus melonjak.
Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pendapatan boleh guna dalam kalangan pengguna M40 dan B40 semakin berkurangan.
Firma penyelidikan itu berkata, ketika ini permintaan untuk pembiayaan swwa beli kekal stabil tetapi peningkatan elaun rosot nilai dari tahun ke tahun meningkat selaras dengan jangkaan.
"Peningkatan kos sara hidup dan pendapatan boleh guna yang semakin berkurangan dalam kalangan pengguna M40 dan B40 akan memberi kesan kepada kemampuan mereka untuk melunaskan tanggungjawab," katanya dalam satu nota kajia, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Hasil ELK-Desa pada 1QFY25 meningkat 17% kepada RM45.9 juta dipacu sumbangan lebih tinggi segmen sewa beli, perabot
Terdahulu, kumpulan itu melaporkan penurunan 4.3% dalam keuntungan bersih 1QFY25 kepada RM8.1 juta.
Keputusan lebih lemah adalah disebabkan peningkatan dalam elaun rosot nilai, yang meningkat kepada RM9.8 juta berbanding RM7.1 juta setahun yang lalu.
Dari suku tahun ke suku tahun, untung bersih kumpulan itu susut 16.2% berikutan penurunan 1.6% dalam hasil, bersama-sama dengan kenaikan 39.5% dalam elaun rosot nilai, perbelanjaan dan kos kewangan lebih tinggi.
TA Securities berkata, bagi segmen perabot, kumpulan itu sedang berusaha mengekalkan pertumbuhan organik melalui pasaran borong domestik.
Katanya, pada masa ini, syarikat itu mengedarkan produk perabotnya kepada lebih 800 peruncit perabot di seluruh Malaysia, dengan fokus kepada Sabah dan Sarawak.
"Kumpulan itu sedang giat mencari pilihan perabot berkualiti tinggi lagi mampu milik untuk menangani potensi kekangan terhadap pendapatan boleh guna pengguna," katanya.
Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.30 sesaham.- DagangNews.com