Noor Azri dilantik Pengarah Eksekutif MGRC selepas Bintai Kinden jadi pemegang saham utama | DagangNews Skip to main content

Noor Azri dilantik Pengarah Eksekutif MGRC selepas Bintai Kinden jadi pemegang saham utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) mengumumkan penyusunan semula jawatan dengan pelantikan Noor Azri Noor Azerai sebagai Pengarah Eksekutif MGRC berkuatkuasa 16 Februari 2022.

 

Pelantikan itu dibuat selepas Bintai Kinden Corporation Berhad menjadi pemegang saham substansial baharu dalam MGRC dengan pegangan sebanyak 5.03% menerusi pengambilalihan 6.25 juta saham oleh Bintai Trading Sdn. Bhd., hari ini.

 

Noor Azri akan bertanggungjawab menguruskan pembangunan perniagaan, sumber manusia dan kewangan kumpulan selain beliau telah melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bintai Kinden sejurus dilantik ke jawatan baharunya di MGRC.

 

Bagaimanapun, beliau akan kekal di dalam Lembaga Pengarah Bintai Kinden sebagai Pengarah Eksekutif.

 

Beliau yang dilantik ke Lembaga Pengarah Bintai Kinden pada Julai 2021 sebagai Pengarah Eksekutif, dan seterusnya diberi jawatan Timbalan CEO, telah berjaya meningkatkan keuntungan di Bintai Kinden sejak suku tahun pertama FY2022.

 

Beliau berkata, terdapat sinergi di dalam kedua-dua syarikat, Bintai Kinden berpeluang mempelbagaikan perniagaannya dengan menyertai sektor penjagaan kesihatan menerusi pengambilalihan Johnson Medical International Sdn. Bhd. (JMI) pada November 2021. 

 

"MGRC dan Bintai Kinden menggunakan kekuatan masing-masing untuk mencipta lebih banyak peluang pada masa akan datang.

 

Noor Azri berkata, JMI mempunyai pengkhususan di dalam projek pembinaan dan pembangunan fasiliti perubatan termasuk penyediaan rumusan kejuruteraan perubatan seperti bilik bedah, wad penjagaan kritikal dan sistem penyaluran gas perubatan selain merupakan pedagang peralatan dan bekalan perubatan.

 

“Kami mahu MGRC dan Bintai Kinden meraih manfaat secara bersama. Dengan kehadiran saya dalam kedua-dua syarikat, kami akan menyelaraskan peluang untuk mereka berkembang," katanya. - DagangNews.com