KUALA LUMPUR 1 Mac - Novartis Malaysia memenangi Top Employer- Certified Excellence in Employee Conditions untuk empat tahun berturut-turut pada 2023, menjadikannya salah satu majikan terbaik di dunia.
Novartis Malaysia adalah antara 15 syarikat yang menerima pengiktirafan, di Malaysia dan juga di peringkat Asia Pasifik. Anugerah ini mengesahkan komitmen Novartis Malaysia untuk memperjuangkan budaya kerja ‘Inspired, Curious, dan Unbossed’ dalam syarikat yang membolehkan kakitangan melaksanakan kerja pada tahap optimum secara konsisten setiap hari.
Falsafah syarikat untuk memperkasakan hubungan manusia dan kerjasama telah terbukti sebagai ramuan utama dalam kejayaan berterusan sebagai syarikat multinasional terkemuka di negara ini.
Presiden negara bagi Novartis Malaysia, Mohamed Elwakil berkata, ia adalah satu penghormatan yang mengagumkan untuk diiktiraf sebagai majikan terkemuka di Malaysia dan Asia Pasifik bukan sekali, tetapi empat tahun berturut-turut.
"Ini mengesahkan kehadiran kami sebagai sebuah syarikat ubat-ubatan inovatif yang terkemuka dalam membantu memanjangkan dan menambah baik kehidupan lebih 32 juta rakyat Malaysia,” kata beliau.
Dengan lebih 800 kakitangan, Novartis Malaysia mempunyai tiga bahagian utama yang terdiri daripada Innovative Medicine (Pharma dan Oncology), Sandoz (Biosimiliars) dan Novartis Corporate Center (NOCC KL) – salah satu daripada enam pusat perkhidmatan korporat di dunia.
NOCC KL dilancarkan pada 2016 telah mengembangkan operasinya kepada 25 pasaran, termasuk ibu pejabat Novartis di Basel, Switzerland melalui penyelesaian kerja berdaya digital, data dan bertaraf tinggi.
“Keupayaan untuk menarik, memahirkan dan mengekalkan seseorang yang berbakat adalah salah satu objektif utama Novartis Malaysia sebagai majikan. Ia merupakan ramuan penting dalam menyokong pelaksanaan strategi kami dan perkembangan produk inovatif bagi membantu 32 juta rakyat di seluruh negara.”
“Memenangi anugerah ini mengukuhkan komitmen kami untuk memastikan polisi yang kondusif sentiasa dikekalkan untuk persekitaran kerja yang inklusif. Kami percaya pada persekitaran kerja yang fleksibel, menanam semangat kekitaan, memanfaatkan usaha bersama dan memupuk kesejahteraan.”
“Diiktiraf sebagai Top Employer merupakan isyarat kepada bakat-bakat untuk melihat Novartis sebagai suatu tempat terbaik untuk bekerja dan mengenal erti kepuasan, di samping mencari peluang untuk berkembang bersama syarikat. Pasaran pekerjaan yang mencabar pada era ini bagi kedua-dua pekerja dan majikan bermakna mengenal pasti pilihan yang tepat adalah penting untuk semua pihak mencapai matlamat masing-masing."
Ketua negara bagi Pekerja dan Organisasi di Novartis Malaysia, Anne Heng berkata, anugerah ini adalah pengiktirafan kepada kegigihan syarikat untuk mewujudkan ekosistem dan budaya yang berpaksikan kepada usaha memupuk dan mengoptimumkan bakat.
"Diiktiraf selama empat tahun berturut-turut merupakan penghormatan dan penghargaan yang besar kepada dasar sumber manusia kami yang sentiasa menggalakkan komunikasi dan kerjasama yang jelas antara lebih 800 kakitangan di Malaysia untuk mewujudkan persekitaran kerja yang optimum untuk semua,” kata beliau. - DagangNews.com