NTPM dijangka kembali catat untung pada 4QFY23 didorong pengurangan kos input, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

NTPM dijangka kembali catat untung pada 4QFY23 didorong pengurangan kos input, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan NTPM Holdings Berhad kembali mencatatkan keuntungan pada 4QFY23 didorong pengurangan kos input yang berkemungkinan mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi dalam bentuk gas dan elektrik.

 

Firma itu berkata, bagi 3QFY23, hasil bagi segmen tisu menyusut sebanyak 4% kesa daripada jualan eksport yang lemah.

 

Katanya, kerugian bagi segmen itu meluas sebanyak 26% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM10.5 juta.

 

"Penguncupan itu adalah kesan daripada kos bahan mentah yang tinggi untuk pulpa muda dan kertas buangan serta kos utiliti yang lebih tinggi disebabkan kenaikan tarif elektrik dan gas bermula 1 Januari 2023.

 

"Kami menjangkakan kos utiliti yang lebih tinggi akan terus memberi kesan kepada kumpulan pada suku berikutnya dan segmen tisu akan terus mengalami kerugian dalam 4QFY23.

 

"Bagaimanapun, kami melihat kumpulan itu akan kembali mencatatkan keuntungan pada 4QFY23 disokong purata harga jualan (AS) yang tinggi dan kos bahan mentah yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, dari suku tahun ke suku tahun, keuntungan sebelum cukai segmen penjagaan diri meningkat 39% kerana ASP dan jumlah yang lebih tinggi berkemungkinan mengimbangi kenaikan kos bahan mentah dan utiliti.

 

"Kami menjangkakan segmen ini akan terus merekodkan keuntungan yang lebih tinggi secara berturutan dalam 4QFY23, disebabkan kos bahan suapan yang lebih rendah dan ASP yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 42 sen sesaham. - DagangNews.com