Opcom penuhi syarat SSPA, lengkapkan pengambilalihan 100% ekuiti T&J Engineering | DagangNews Skip to main content

Opcom penuhi syarat SSPA, lengkapkan pengambilalihan 100% ekuiti T&J Engineering

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Opcom Holdings Berhad mengumumkan telah memenuhi semua syarat Perjanjian Jualan Saham (SSPA) dan berjaya menyelesaikan pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti T&J Engineering Sdn Bhd (TJE) pada 7 Mac 2023.

 

Pengarah Urusan Opcom, Ong Soon Lim berkata, pengambilalihan itu tepat pada masanya memandangkan prospek positif industri penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi di Malaysia.

 

Katanya, industri berkenaan didorong oleh pelaburan modal penyedia perkhidmatan tetap dan mudah alih untuk menyokong permintaan untuk data dan dasar kerajaan yang menyokong, termasuk percambahan 5G yang akan datang.

 

"Pengambilalihan ini adalah selaras dengan strategi jangka panjang kami untuk memanfaatkan perniagaan menjana pendapatan yang menguntungkan dan mampan dalam jangka panjang, di samping meningkatkan kehadiran Opcom di Malaysia Timur," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi mesyuarat agung luar biasanya sebelum ini meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam TJE melibatkan pertimbangan pembelian sehingga RM90 juta.

 

Pengambilalihan TJE dijangka memberi jaminan keuntungan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) hingga FY25 dengan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

BACA JUGA: Pemegang saham Opcom lulus cadangan pengambilalihan TJE bernilai RM90 juta

 

Sementara itu, pemegang saham terbesar Opcom Datuk Eddie Ong Choo Meng berkata, pelaburan itu akan memberi petanda yang baik untuk kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan masa depannya.

 

Beliau mengulangi komitmen kumpulan itu untuk mengembangkan perniagaan ini dalam jangka panjang untuk menangkap peluang dalam industri penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi di Malaysia. - DagangNews.com