Operasi Wirecard MY dipantau, elak ketirisan kepada peniaga | DagangNews Skip to main content

Operasi Wirecard MY dipantau, elak ketirisan kepada peniaga

bank negara

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pengoperasian syarikat Wirecard Payment Solutions Malaysia Sdn. Bhd. (WireCard MY) dipantau Bank Negara bagi memastikan tiada sebarang ketirisan pembayaran berlaku kepada peniaga.

Hal ini berikutan Wirecard AG mengfailkan perbicaraan insolvensi di Jerman, tetapi Wirecard MY pula masih dalam fasa penilaian kedudukan operasi perniagaan berdasarkan perkembangan syarikat induknya.

Bank Pusat hari ini memaklumkan bahawa dana peniaga disimpan dalam satu akaun bank yang berlainan menerusi institusi perbankan berlesen di Malaysia dan tiada kaitan dengan dana operasi Wirecard MY sendiri.

"Wirecard MY turut diminta untuk memberi kerjasama segera bagi memastikan masalah pembayaran dapat diselesaikan terus kepada peniaga sekali gus memudahkan pemindahan perkhidmatan pembayaran kepada penyedia gantian sekiranya perlu," jelas kenyataan itu hari ini.

Wirecard MY adalah entiti berdaftar yang menjalankan khidmat memproses pembayaran kad kepada peniaga di bawah Seksyen 17 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Bank Negara Malaysia ingin terus menyakinkan masyarakat bahawa sistem pembayaran tetap akan berjalan dengan telus dan lancar," kata kenyataan itu lagi. - DagangNews.com