Oppstar dijangka raih RM104.25 juta daripada terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

Oppstar dijangka raih RM104.25 juta daripada terbitan IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Oppstar Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka meraih dana sebanyak RM104.25 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi membiayai fasa perkembangan perniagaan seterusnya.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 165 juta saham baharu mewakili kira-kira 26% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 636.2 juta saham semasa penyenaraian.

 

Sejumlah 31.81 juta saham atau 5% daripada saham yang diperbesarkan akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 22,26 juta saham, atau 3.5% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak.

 

Sejumlah 31,88 juta saham atau 5% daripada modal saham diperbesarkan akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 79,53 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

 

Oppstar akan memperuntukkan 47.96% daripada hasil untuk pengembangan tenaga kerja dan 23.98% untuk penubuhan pejabat baharu.

 

Sebanyak 11.51% lagi adalah untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan dan 12.14% disalurkan kepada modal kerja manakala baki adalah untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif dan Keyua Pegawai Eksekutif Oppstar, Ng Meng Thai berkata, bahawa industri reka bentuk litar bersepadu (IC) kekal teguh, dengan permintaan berterusan untuk kemajuan teknologi dan peningkatan penggunaan perkhidmatan reka bentuk oleh syarikat semikonduktor.

 

"Bagi ramai orang, IC sangat dianggap sebagai asas teras teknologi dan pengguna sentiasa memerhatikan inovasi terkini, pertumbuhan reka bentuk IC disokong oleh kepantasan pendigitalan.

 

"Memandangkan jangkaan untuk kerja reka bentuk IC yang lebih kompleks, kami percaya pelaksanaan IPO ini penting dalam membolehkan kami mengembangkan keupayaan sedia ada dalam perkhidmatan reka bentuk IC," katanya.

 

Oppstar menerusi anak syarikatnya terlibat dengan reka bentuk IC yang merangkumi reka bentuk bahagian hadapan, reka bentuk bahagian belakang dan penyelesaian lengkap.

 

Pelanggannya termasuk pengeluar peranti bersepadu, syarikat fabless, syarikat fab-lite, pembekal sistem elektronik dan rumah reka bentuk IC lain. 

 

Reka bentuk IC Oppstar boleh digunakan untuk produk akhir dalam industri seperti telekomunikasi, elektronik industri, automotif dan elektronik pengguna.

 

Kumpulan itu dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada 15 Mac 2023.


Affin Hwang Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com