OPR diunjur tidak berubah pada 2.75% sepanjang 2023, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

OPR diunjur tidak berubah pada 2.75% sepanjang 2023, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenanga Research meNgunjurkan kadar dasar semalaman (OPR)  tidak berubah pada 2.75% sepanjang tahun ini dengan mengambil kira ketiadaan sebarang kejutan terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi.

 

Firma itu percaya, selepas dua kali menangguhkan kenaikan semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Januari dan Mac 2023, jawatankuasa itu itu akan menangguhkan kenaikan untuk jangka panjang.

 

Katanya, pandangan itu disokong lagi dengan matlamat utama jawatankuasa itu untuk membuat ketetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan mampan yang membawa kepada normalisasi selanjutnya.

 

"Memandangkan unjuran pertumbuhan dan inflasi dijangka menjadi sederhana tahun ini, kami meramalkan kemungkinan kecil BNM akan meneruskan kenaikan kadarnya dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berkiutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yag kukuh sebanyak 8.7% pada 2022, MPC menjangkakan pertumbuhan menjadi sederhana pada 2023 kesan ekonomi global yang lebih perlahan serta risiko menurun yang dikaitkan dengan perkembangan global.

 

BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 2.75%

 

BACA JUGA: CGS-CIMB jangka OPR cecah 3.25% pada hujung 2023 selepas tiada kenaikan pada separuh pertama

 

Sebagai rujukan, Kementerian Kewangan baru-baru ini menyemak semula sasaran pertumbuhan KDNK kepada 4.5% daripada 4.0% - 5.0% yang diumumkan oleh pentadbiran terdahulu.

 

Katanya, ia disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, peningkatan pelancong, kemajuan projek infrastruktur dan projek baharu di bawah Belanjawan 2023 yang disemak semula.

 

"Sebagai perbandingan, kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7% berbanding 4.0% konsensus," katanya. - DagangNews.com