'Ops Catut 8.0' pantau harga kelengkapan elektronik, komunikasi | DagangNews Skip to main content

'Ops Catut 8.0' pantau harga kelengkapan elektronik, komunikasi

Ops Catut 8.0

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memantau harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutamanya perkakasan internet. 

 

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia seiring dengan peningkatan permintaan pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian semasa musim PKP.

 

Ops Catut 8.0

 

"Sehingga 27 Januari 2021, sebanyak 130 premis telah diperiksa yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi. 

 

"Hasil pemantauan tersebut juga, sebanyak 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

 

"Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, maka ianya merupakan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pemantauan tersebut akan dijalankan selama dua minggu bermula 25 Januari 2021 dan mana-mana peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan.

 

Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi S.21(5), AKHAP 2011 tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

 

Ops Catut 8.0

 

Tambah beliau, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik. 

 

"Kementerian juga ingin menasihatkan pengguna supaya menyimpan setiap resit pembelian yang dibuat bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku di masa hadapan.

 

"Pengguna juga digalakkan untuk membanding harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli yang menepati ciri minimum terutama keperluan pembelajaran atas talian serta tawaran pakej dari penjual sebelum membuat keputusan untuk membeli dari seseorang peniaga," jelasnya lagi. - DagangNews.com