Optimax dijangka miliki 30 cawangan menjelang akhir 2025, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Optimax dijangka miliki 30 cawangan menjelang akhir 2025, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan Optimax Holdings Berhad akan mengembangkan rangkaiannya sehingga 30 cawangan menjelang penghujung 2025 berbanding 15 cawangan pada hujung tahun lalu.

 

Firma itu berkata, sasaran itu adalah bagi memenuhi pemrintaan terhadap pembedahan mata ekoran penambahan populasi berusia, kesedaran penjagaan mata dan peningkatan penggunaan insurans.

 

Katanya, pada masa sama, kumpulan itu menyasarkan pembukaan tujuh klinik satelit di Semenanjung Malaysia dan kemungkinan satu atau dua pusat penjagaan ambulatori (ACC) menjelang hujung tahun ini.

 

"Pembukaan itu merangkumi ACC baharu di Hospital Selgate Setia Alam (dijangka siap pada suku ketiga 2024) dan hospital mata baharu di Kempas, Johor (dijangka siap menjelang akhir 2024).

 

"Selain itu hospital mata berpotensi di Sri Hartamas dan potensi pengembangan ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hasil bagi suku keempat 2022 meningkat 6.8% dengan sebahagiannya didorong oleh sumbangan sulung daripada ACC di Bahau (dibuka pada 22 Oktober 2022) dan klinik satelit di Cheras (dibuka pada 22 November 2022).

 

Katanya, pembukaan dua klinik satelit tambahannya di OUG (Kuala Lumpur) dan Sutera (Johor), masing-masing ditangguhkan ke awal 2023 (berbandinh akhir 2022 sebelum ini) kerana kelewatan pelesenan.

 

"Prestasi klinik Cheras adalah sejajar dengan jangkaannya, menyumbang kira-kira RM200,000 sebulan.

 

"Sementara itu, ACC Bahau juga berada di landasan baik untuk mencatatkan kadar pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM280,000-RM300,000," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham. - DagangNews.com