Orang ghairah WhatsApp, baca buku bukan lagi pilihan semasa pandemik | DagangNews Skip to main content

Orang ghairah WhatsApp, baca buku bukan lagi pilihan semasa pandemik

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

SAYA adalah seorang penulis di sebalik kerja saya sebagai ahli korporat dan usahawan sebelum terkena strok dan menjadi OKU pada Ogos 2018.

 

Saya lupa 100% untuk beberapa hari dan masih cuba mengingati. Saya terbaring kemudian tiga bulan menaiki kerusi roda dan 3 bulan bertongkat.

 

Itu adalah kelemahan saya yang berjalan berdengket-dengket dan saya reda dengan ketentuan Tuhan. Saya beriman dengan ketentuan dari Tuhan dan Alhamdulilah terus dipanjangkan usia.

 

Saya berada di Malaysia waktu itu dan terus meninggalkan Dubai, rumah saya sejak 18 tahun dan Riyadh yang saya tumpangi.

 

Setelah pulih saya ditawarkan oleh Naib Canselor UniSZA sebagai karyawan tamu setahun lalu.

 

Saya mendapat peluang untuk menerbitkan buku melalui Fundmybook.my sebuah entiti untuk crowdfunding menerbitkan buku-buku.

 

Seperti laman web Fundmybook nyatakan:

FundMyBook merupakan satu pelantar crowdfunding Islam bertujuan menyokong industri penerbitan buku di Malaysia. Ia berfungsi sebagai penghubung antara para penyumbang dan penulis, iaitu penulis swa-terbit.

FundMyBook dikendalikan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diketuai Dr Shahrul Ifwat.

Kini, industri buku di Malaysia sedang mengalami suasana yang suram. Walaupun terdapat banyak faktor dikaitkan dengan penurunan ini, faktor ekonomi seperti kos operasi dalam penerbitan dan kuasa beli yang lemah dalam kalangan masyarakat merupakan penyumbang utama. Kejatuhan industri buku tidak hanya memberi kesan kepada perniagaan tetapi ia juga boleh mengancam pembangunan ilmu dan bakat dalam masyarakat.

Crowdfunding merupakan satu bentuk usaha pengumpulan dana secara kreatif daripada individu-individu bagi mendapatkan dana untuk projek mereka. Ia menjadi salah satu dana alternatif untuk perniagaan berskala kecil dan usahawan baru dalam memulakan perniagaan mereka. Dalam masa yang sama, ia juga merupakan satu cara untuk merealisasikan impian, bakat dan idea yang mana semua itu tidak akan tercapai tanpa bantuan kewangan.

FundMyBook menyediakan pelantar yang efisyen dalam mengumpul dana untuk kempen. Ia boleh membantu penulis terutamanya penulis swa-terbit untuk mendapatkan dana, supaya mereka boleh memberikan tumpuan kepada penulisan dan proses penerbitan. Manakala untuk syarikat penerbitan kecil, mereka boleh menerbitkan manuskrip daripada penulis mereka tanpa mengambil masa yang lama. Dalam masa yang sama, FundMyBook boleh bertindak sebagai medium promosi kepada buku yang bakal diterbitkan.

Saya terpanggil untuk menghubungi Dr Shahrul Ifwat dan terus memohon untuk menguji keberkesanan Fundmybook.

 

Triton2020
PENULIS menyerahkan senaskhah buku Kumpulan Cerpen Fudzail 50! kepada Dr Shahrul Ifwat di UniSZa di Terengganu, baru-baru ini.

 

Buku saya adalah kumpulan cerpen 50 artikel! dan dengan meletakkan iklan melaluinya untuk mengumpulkan derma atau sedekah. Tidak sampai dua hari, kutipan melebihi sasaran!

 

Saya terkejut kerana ini adalah buku saya yang pertama diterbitkan sendiri melalui crowdfunding walaupun pernah menerbitkan 22 buah buku sebelum ini.

 

Buku ini mengandungi 20 cerpen yang saya hasilkan sebelum 2017. Cerpen berlatarbelakangkan luar negara, seperti cerita saya yang tinggal di UAE. Boleh dikatakan cerita-cerita yang pernah saya alami sebagai pengalaman.

 

Setelah mendapat dana, saya terus menerbitkan buku dan siap seminggu, walaupun penerbit tersalah alamat. Buku saya dihantar ke Kedah dan dipulangkan balik ke Terengganu.

 

Saya mencuba menjual buku kepada kawan bekas sekolah, sekerja dan kenalan. Dengan menggunakan saya sebagai OKU. Ada beberapa orang yang membeli terus dari iklan yang saya buat di Facebook, Telegram dan WhatsApp.

 

Ramai yang membeli dari mereka yang saya tidak kenal sehingga hampir habis buku kumpulan cerpen 50! Dalam dua hari. Terima kasih pada mereka.

 

LM350

 

Saya bertanya di mana kawan-kawan saya bekas sekolah, sekerja dan kenalan yang ramai. Saya teringat bila saya strok di Hospital Serdang hampir ratusan yang datang setiap hari untuk menjenguk hingga sampai di rumah saya di Kelana Jaya.

 

Untuk buku yang saya terbitkan sendiri, harapan saya untuk melihat galakan dari teman-teman untuk terus menulis. Galakan itu amat bermakna untuk seorang OKU yang melalui jalan gelap dan cuba memperbaiki nasib.

 

Ramai yang terus mengalpakan sahaja.

 

Boleh dikatakan betul rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Sentiasa sibuk dengan telefon pintar dan sembang kosong yang tidak membawa ke mana.

 

Apalagi era pandemik yang sepatutnya lebih masa untuk membaca buku dengan PKP yang masih berterusan. Peningkatan kes positif COVID-19 terus meningkat hari ini. Mungkin ramai kehilangan kerja dan mengganggur tidak berduit untuk membeli buku. Bukan keperluan asas.

 

Apakah membeli sebuah buku sebagai hadiah pada keluarga dan kenalan, perpustakaan sekolah, maktab, universiti sebagai sedekah atau infaq dianggap sebagai keterlaluan.

 

Pada bulan Ramadan banyak iklan sedekah untuk masjis, anak yatim di mana-mana sememangnya orang kita suka bersedekah. Tetapi tidak untuk membeli buku pada perpustakaan sekolah misalnya yang lebih banyak pembaca dan sekolah kekurangan bahan bacaan.

 

Pada ayat pertama al-Quran yang diturunkan, Tuhan menyuruh kita membaca. Iqra’. Saya selepas strok telah membaca buku sebanyak 850 buah buku untuk mengingatkan kembali apa yang saya lupa.

 

Saya pernah memenangi 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 9 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel dan lain-lain.

 

Walau tidak mendapat sambutan, saya akan terus menerbitkan buku-buku untuk tatapan dengan menghasilkan buku bermutu. Semoga usaha ini mendapat rahmat dari Tuhan walau tiada galakan dari teman-teman sendiri.

 

Pada kawan-kawan sekolah dan sekerja yang kalau WhatsApp terus menghantar berita, komen dan jenaka apakah semua itu berfaedah?

 

Lagi baiklah membaca buku yang berfaedah sama ada buku agama, sastera mahupun biografi! - DagangNews.com

 

wainuiomata