'Pakat Maghi Terengganu 2024' di Johor platform terbaik promosi destinasi pelancongan tarik rakyat di zon selatan | DagangNews Skip to main content

'Pakat Maghi Terengganu 2024' di Johor platform terbaik promosi destinasi pelancongan tarik rakyat di zon selatan

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Program Jelajah Beautiful Terengganu, 'Pakat Maghi Terengganu 2024' yang diadakan di Johor pada Jumaat lalu adalah platform terbaik untuk memperkenalkan destinasi pelancongan dan perkhidmatan negeri itu kepada penduduk di zon selatan tanahair, termasuk Singapura.

 

Program anjuran Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu adalah edisi ketiga selepas penganjuran di Kedah dan Pahang, dua tahun lalu.

 

Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, melalui program itu, semua penggiat industri yang dibawa khas dari Terengganu berpeluang memberi penerangan dengan lebih terperinci kepada penggiat industri pelancongan di Johor dan Singapura.

 

 

Suaibah Harun
                                Suaibah Harun

 

 

"Kami menggunakan kaedah Business to Business (B2B) untuk memperkenalkan kredibiliti jenama dan pulangan yang bakal diperoleh melalui situasi menang-menang antara dua pihak dari Terengganu dan Johor.

 

"Sambutan yang diterima dari operator hotel serta ejen pelancongan di wilayah selatan kali ini sangat memberangsangkan dan maklum balas peserta, ada banyak potensi kerjasama yang bakal dimeterai dalam masa terdekat," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

 

hikayat

 

 

Lima kluster pelancongan utama yang menjadi fokus Terengganu ketika ini ialah pulau dan pantai, alam semulajadi, seni budaya dan warisan, Kenyir Geopark dan Kuala Terengganu.

 

Beberapa usahawan yang menyertai program tersebut pula mengakui ramai ejen pelancongan di Johor dan Singapura yang berminat untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi utama kepada pelanggan mereka.

 

 

Muhammad Fadhil Ali Affandi
                                Muhammad Fadhil Ali Affandi

 

 

Pemilik Fadhizan Al Zahra Batik & Songket, Muhammad Fadhil Ali Affandi, 35, berkata, keunikan songket dan batik tetap menjadi antara tarikan utama pelancong ke Terengganu selama ini.

 

"Melalui program ini, saya dapat memberi penerangan kepada pengunjung mengenai keistimewaan batik asli Terengganu yang tidak terdapat di tempat lain.

 

"Koleksi batik dan songket yang kami bawa juga berjaya memikat hati pengunjung dengan rekaan lebih kontemporari menggunakan gabungan warna yang ekslusif, namun harganya sangat berpatutan.

 

"Ada beberapa kolaborasi yang akan terjalin antara kami di Terengganu dan penggiat industri pelancongan dari Johor dan Singapura untuk dilakukan selepas ini dan saya berharap program ini akan diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia adalah platform terbaik untuk memperkenalkan jenama kami," katanya.


 

wasiyyah
Wan Nur Akmal Wan Ibrahim (kanan) menunjukkan produk keluaran koperasinya ketika program Jelajah Beautiful Terengganu 2024 di Johor Bharu

 

 

Sementara itu, Setiausaha Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, program tersebut adalah platform terbaik untuk usahawan kecil memperkenalkan produk mereka kepada rakyat di zon selatan termasuk di Singapura.

 

Menurutnya, koperasi tersebut menghasilkan pelbagai produk kraftangan berasaskan batik.

 

"Antara aktiviti perniagaan utama koperasi ketika ini ialah menghasilkan beg, barangan cenderahati dan kraftangan bermotifkan batik dengan jenama TAPAi yang telah dipasarkan ke seluruh negara.

 

"Program kali ini telah memberi peluang kepada kami untuk melebarkan lagi jaringan perniagaan dan rakan strategik kerjasama yang berminat dengan produk batik asli Terengganu," katanya. - DagangNews.com