Pakatan Harapan akan pertimbang pelawaan PM sertai MPN | DagangNews Skip to main content

Pakatan Harapan akan pertimbang pelawaan PM sertai MPN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk blok itu menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

 

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama hari ini, menyatakan ia penting untuk bersama-sama menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi, serta bukan sekadar tangkap muat atau menjadi 'rubber stamp' kepada pandangan kerajaan semata-mata.

 

Dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri pada Ahad lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

 

Kenyataan itu juga menyatakan, fokus PH adalah untuk menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab.

 

Pada masa sama, membentangkan cadangan-cadangan alternatif yang bersesuaian kepada dasar-dasar kerajaan, terutama berkait usaha menangani COVID-19, menghidupkan semula ekonomi serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat. - DagangNews.com