Para pengamal media Asia Pasifik optimis untuk memerangi ‘The Great Resignation’ | DagangNews Skip to main content

Para pengamal media Asia Pasifik optimis untuk memerangi ‘The Great Resignation’

Oleh TELUM MEDIA

PERLETAKAN jawatan besar-besaran atau 'The Great Resignation', mungkin telah mencetuskan penghijrahan para pekerja di seluruh dunia, namun bilik-bilik berita sekitar Asia Pasifik sedia untuk memerangi trend tersebut.

 

Hampir separuh daripada para pengamal media di wilayah tersebut berhasrat untuk terus kekal dengan kerjaya masing-masing, hanya 8% responden mencari peluang untuk berhijrah ke industri lain, menurut hasil dapatan kaji selidik Telum Media yang telah diterbitkan hari ini.

 

Telum Asia Pacific Journalism Survey 2022 menghimpunkan 1,133 respons para pengamal media merentasi wilayah Asia Pasifik: Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, China, Hong Kong, Macau dan Taiwan. Kaji selidik ini dijalankan bermula November 2021 sehingga Januari 2022.
 

 

Telum Media

 


Di Malaysia, sebahagian besar para pengamal media (16%) mempunyai perancangan untuk beralih ke industri lain menjelang tahun 2022. Dapatan kaji selidik menunjukkan bahawa COVID-19 (69%) dan ketidakstabilan landskap politik tempatan (62%) kekal menjadi antara kegusaran terbesar yang dihadapi para pengamal media tanah air.

 

Para pengamal media Malaysia juga antara golongan yang paling khuatir mengenai kestabilan pekerjaan, dengan satu pertiga (34%) berpendapat bahawa ia merupakan antara cabaran terbesar yang perlu mereka hadapi bagi tahun 2022.

 

Tidak mengejutkan apabila lebih ramai para pengamal media Malaysia merancang untuk bergerak bebas: 7% berbanding purata sebanyak 4% merentasi APAC.

 

Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa industri kewartawanan Malaysia secara umumnya berada dalam suasana positif, meskipun mereka kekal bersiap-siaga menentang cabaran-cabaran sedia ada seperti COVID-19 dan berita palsu.


 

Telum Media

 

 

Hampir separuh (46%) bersifat optimistik atau mempunyai optimisme berjaga-jaga mengenai industri media menjelang 2022.

 

Sementara itu, 75% percaya bahawa pandemik ini telah memperkasa atau menambah baik persepsi mengenai kepentingan dunia kewartawanan, dengan hanya 11% berpendapat bahawa persepsi mengenai kepentingan kewartawanan semakin berkurang.

 

Beralih kepada saranan kerjaya kewartawanan, separuh daripada jumlah responden bakal menyarankan karier kewartawanan kepada kenalan mereka, manakala 23% lagi bersikap neutral.

 

Pengarah Urusan, Asia Pacifik, Telum Media, Tim Williamson berkata, COVID-19 telah menjadikan kewartawanan sebuah industri yang lebih mencabar.


 

Telum Media, Tim Williamson
     Tim Williamson

 


''Namun pandemik ini tidak menghalang para pengamal media untuk terus mempunyai hala tuju misi yang jelas, optimisme yang berjaga-jaga dan kerjaya yang bergerak seiring dengan kemajuan teknologi,” ujar beliau.

 

Dapatan kaji selidik ini juga mengiktiraf kepentingan platform-platform digital dalam landskap media tanah air, dengan 80% yakin bahawa media sosial bakal memiliki kepentingan yang lebih besar menjelang tahun hadapan, diikuti dengan penerbitan digital (70%).

 

Walaupun ramai yang beralih kepada penceritaan dalam format video sedekad yang lalu, 30% tenaga kerja media kini meramalkan bahawa dunia podcast akan mengalami pertumbuhan yang paling utama, seterusnya membuka jalan kepada kegemilangan dunia audio.

 

Hampir dua daripada setiap tiga orang (66%) pengamal media berpendapat bahawa perkembangan media sosial dan saluran-saluran digital telah membuktikan dan meningkatkan keperluan kewartawanan yang bermutu tinggi.

 

Hampir separuh tenaga kerja media (48%) bersetuju bahawa kebolehan untuk membentuk berita yang baik merupakan antara kemahiran utama yang diperlukan seseorang pengamal media, namun ada jangkaan bahawa kemahiran tersebut akan diatasi oleh kemahiran digital dalam jangka masa tiga hingga lima tahun.

 

Kemahiran ini merangkumi pengoptimuman enjin carian (SEO) (30%), media sosial (30%) dan keterlibatan kelompok sasaran (21%).

 

Para pengamal media mengesyorkan pembentangan cerita secara eksklusif (45%) atau secara langsung (30%), dengan 88% lebih cenderung untuk menyiarkan artikel-artikel eksklusif.

 

Masa terbaik untuk berhubung mengenai pembentangan cerita adalah daripada 8 pagi sehingga 11 pagi (42%), diikuti dengan tempoh antara 11 pagi hingga 12 tengah hari (31%).

 

Sesetengah pengamal media juga lebih menggemari emel yang mengandungi pembentangan cerita khusus buat organisasi media mereka sahaja, bergantung kepada kawasan tertentu. – DagangNews.com