Lang Sikap, Lang Berjambul, Pekaka Dada Putih dan Pekaka Sungai sesuai jaga ladang sawit - Kajian UPM, MPOB | DagangNews Skip to main content

Lang Sikap, Lang Berjambul, Pekaka Dada Putih dan Pekaka Sungai sesuai jaga ladang sawit - Kajian UPM, MPOB

Oleh Dr. Maisarah Burhanuddin dan Prof. Madya Dr. Badrul Azhar Md. Sharif

Tanaman kelapa sawit ini mudah terdedah kepada perosak seperti kumbang badak (Orycytes rhinoceros), kulat ganoderma dan ulat bungkus (Metisa plana) yang menyebabkan penyakit busuk pangkal batang pokok sawit.

 

Namun, terdapat perosak lain yang boleh menyebabkan kerugian signifikan dalam hasil per tan sawit. Kebiasaannya tikus dari genus Rattus sp. yang sering menyebabkan kerosakan pada buah sawit.

 

 

Dr. Maisarah Burhanuddin
         Dr. Maisarah Burhanuddin

 

Prof. Madya Dr. Badrul Azhar Md. Sharif
Prof. Madya Dr. Badrul Azhar Md. Sharif

 

 

Untuk itu, semua pihak menggembleng tenaga bagi mencari jalan penyelesaian mudah dan tidak membebankan masyarakat untuk menangani masalah haiwan perosak dalam industri kelapa sawit ini.

 

Bagi pekebun kecil, mudahnya hanya dengan menggunakan racun sahaja, namun memerlukan modal yang berterusan serta perlu berhati-hati kerana racun tikus berpotensi menjadi punca kepada keracunan sekunder.

 

Sebagai alternatif lebih hijau dan lebih selamat, haiwan pemangsa seperti burung turut digunakan untuk mengawal populasi haiwan perosak yang menjejaskan perladangan kelapa sawit.

 

Di Malaysia, burung pungguk jelapang (Tyto javanica) digunakan sebagai kawalan semulajadi untuk mengurangkan populasi tikus di ladang sawit, lebih mesra alam untuk mengawal haiwan perosak ini.

 

Manakala di Riau, Indonesia, kucing pemangsa seperti kucing batu (Prionailurus bengalensis) didapati memainkan peranan utama dalam mengawal populasi tikus di kawasan sawit yang bersebelahan dengan hutan.

 

Bagi tujuan ini, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pertanian dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)  telah menjalankan kajian dan mendapati empat spesis burung pemangsa tempatan baharu untuk tujuan ini.

 

 

Fakulti Pertanian dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

 

 

Kajian yang dijalankan itu hanya membina pelantar yang ringkas, mudah diselenggara di lorong tuai pada ketinggian tertentu untuk menarik burung-burung pemangsa datang berbanding dengan membina rumah burung yang hanya sesuai untuk satu spesis sahaja.

 

Empat spesis burung yang telah dikenal pasti ialah Burung Lang Sikap (Accipiter trivigatus), Burung Lang Kuik/Berjambul (Spilornis cheela), Pekaka Dada Putih (Halcyon smyrnensis), dan Pekaka Sungai (Todiramphus chloris).

 

Kebiasaannya burung pungguk jelapang memburu tikus dewasa pada waktu malam, lain pula bagi burung pekaka yang memiliki kebolehan menggali tanah dan mampu memburu anak-anak tikus pada waktu siang. 

 

Jadinya, kombinasi ini berpotensi besar dalam mengawal populasi tikus perosak di kawasan pertanian secara mudah, selamat dan kos yang minimal.

 

Dalam hal ini, kehadiran haiwan pemangsa sangat penting bagi membantu masyarakat dalam mengawal populasi haiwan perosak menerusi ekosistem semulajadi.

 

 

upm
Burung Lang Kuik/Berjambul (Spilornis cheela)

 

upm
Burung Lang Sikap (Accipiter trivigatus)

 

upm
Pekaka Dada Putih (Halcyon smyrnensis)

 

upm
Pekaka Sungai (Todiramphus chloris)

 

 

Namun, apa yang merisaukan adalah gangguan kestabilan dan kelestarian sumber ekosistem setempat yang berpotensi diceroboh, pembukaan kawasan pertanian baharu atau dibangunkan secara tidak terkawal.

 

Dengan memelihara keseimbangan ini, masyarakat berupaya melakukan aktiviti pertanian pertanian yang mesra alam, selamat, jimat serta berdaya tahan tanpa bergantung kepada penggunaan racun kimia. - DagangNews.com

 

 

Dr. Maisarah Burhanuddin adalah dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia

dan

Prof. Madya Dr. Badrul Azhar Md. Sharif dari Jabatan Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia