KUALA LUMPUR 10 Mac - Pasaran tenaga kerja Malaysia semakin menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas pembukaan semula ekonomi selain menerima manfaat daripada aktiviti sosial serta perniagaan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkaka pasaran tenaga kerja Malaysia akan terus mencatatkan pemulihan lebih sederhana pada 2023.
"Unjuran itu didorong jangkaan kelembapan dalam ekonomi domestik selain cabaran luar.
"Kami juga berkeyakinan pemulihan itu turut disokong pembukaan semula China dalam menyokong industri pelancongan dan pertumbuhan Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pasaran tenaga kerja terus mencatatkan pemulihan pada Januari 2023 sejajar dengan aktiviti sosio ekonomi yang semakin meningkat selain pemulihan dalam sektor pelancongan.
Katanya, bilangan penganggur menurun pada kadar yang lebih pantas dari bulan ke bulan berbanding dari tahun ke tahun.
"Kadar pengangguran kekal tidak berubah pada 3.6%," katanya.
Firma itu berkata, pertumbuhan pasaran pekerjaan terus disokong oleh peningkatan guna tenaga dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam perdagangan borong & runcit, perkhidmatan makanan & minuman (F&B), serta aktiviti pentadbiran & perkhidmatan sokongan.
Katanya, begitu juga, aliran menaik dalam pekerjaan juga diperhatikan dalam sektor lain; pembuatan, pembinaan, perlombongan, dan pertanian.
Katanya, dari segi status pekerjaan, pertumbuhan pekerja berterusan pada kadar yang stabil, manakala pertumbuhan pekerja akaun sendiri meningkat.
"Sementara itu, bilangan pekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu menurun kepada 81,300 orang berbanding 91,600 orang pada Disember 2022," katanya. - DagangNews.com