PUTRAJAYA 1 Julai - Dalam membantu Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS), Kementerian Sumber Manusia mengesyorkan dua mekanisme untuk membolehkan latihan kemahiran dilaksanakan secara bersemuka.
1. Kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) MKN; dan
2. Beri keutamaan dan mempercepatkan pemberian vaksinasi kepada kakitangan, pengajar dan pelajar Pusat Bertauliah JPK.
Menerusi mekanisme ini kata kementerian lagi, latihan kemahiran secara bersemuka dapat dilaksanakan sepenuhnya sekaligus pelaksanaan tuntutan bayaran dan pembiayaan ke atas Pusat Bertauliah JPK dapat dibuat sewajarnya supaya Pusat Bertauliah JPK dapat terus kekal beroperasi.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil maklum luahan Presiden Persekutuan Pusat Tauliah JPK (FeMAC) berkaitan isu Pusat Bertauliah JPK khususnya Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dalam
mendepani cabaran getir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini seperti yang disiarkan di media massa, baru-baru ini.
"Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah menyediakan siling peruntukan berjumlah RM200 juta bagi membiayai program berinsentif SLDN RMK-11 (2016 – 2020).
"Daripada jumlah ini, sehingga 31 Mei 2021 sebanyak RM146,389,465.00 telah pun dibelanjakan. Menerusi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) pula, sejumlah RM60 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membiayai program SLDN PLUS bagi tahun 2021.
"Sejumlah RM6,541,650.00 telah dituntut oleh Pusat Bertauliah JPK dan dimanfaatkan sepenuhnya sehingga kini," kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kementerian lagi, kerajaan menyedari kesan pandemik COVID-19 apabila pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac tahun 2020. Semua Pusat Bertauliah JPK tidak dapat menjalankan kursus kemahiran dan pengambilan pelatih telah tertangguh.
"Oleh kerana dua aktiviti utama ini tidak dapat dilaksanakan, operasi Pusat Bertauliah JPK turut terjejas dan
akhirnya tuntutan yang sepatutnya dibuat oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat diselesaikan.
"Dalam menangani isu ini, KSM melalui JPK telah menyediakan Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) JPK selaras dengan arahan PKP, dengan melonggarkan pelaksanaan latihan teori secara dalam talian manakala aktiviti kawalan mutu latihan kemahiran dan pentauliahan program bertauliah
turut dijalankan secara dalam talian supaya operasi Pusat Bertauliah JPK tidak terjejas.
Namun demikian, aktiviti latihan kemahiran secara amali (Hands-On) memerlukan kehadiran pelatih secara fizikal dan bersemuka. Kekangan ini telah menjejaskan pelaksanaan latihan kemahiran dan pada masa yang sama tuntutan bayaran oleh Pusat Bertauliah JPK tidak dapat dibuat, kata KSM. - DagangNews.com