Pelabur asing beli RM394.5 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM394.5 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pelabur asing mengakhiri jualan bersih buat minggu kedua berturut-turut dengan beralih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia sebanyak RM394.5 juta pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, mereka mencatatkan pembelian bersih setiap hari pada minggu lalu dengan sebahagian besar aliran masuk dilihat pada Rabu dan Khamis, masing-masing RM259.4 juta dan RM86.3 juta.

 

"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah pengangkutan & logistik (RM152.9 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (RM151.5 juta) dan teknologi (RM93.6 juta).

 

"Sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk & perkhidmatan pengguna (RM91.1 juta), pembinaan (RM28.6 juta) dan perladangan (RM27.2 juta)," katanya dalam laporan aliran dana mingguan berakhir 5 Julai 2024, hari ini.

 

Institusi tempatan terus memainkan peranannya dalam menyokong bursa tempatan dengan mencatat belian bersih sebanyak RM32.2 juta minggu lepas.

 

Peruncit tempatan merupakan penjual bersih utama yang melupuskan ekuiti sebanyak RM426.7 juta. 

 

Mereka menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada Jumaat apabila menjadi pembeli bersih sebanyak RM400,000.

 

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlh dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan masing-masing sebanyak 14.1% dan 5.8% manakala pelabur asing mencatatkan penurunan dalam ADTV sebanyak 6.7% minggu lepas. - DagangNews.com