Pelabur asing kembali beli RM242.1 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali beli RM242.1 juta ekuiti tempatan minggu lalu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Selepas aktiviti mengambil untung pada minggu sebelumnya, pelabur asing kembali membeli sejumlah RM242.1 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu.

 

MIDF Research berkata, mereka memulakan minggu lalu dengan menjual RM17.2 juta ekuiti tempatan tetapi kemudiannya menjadi pembeli bersih sepanjang minggu itu.

 

"Aliran masuk bersih paling besar berlaku pada Rabu dengan RM120.7 juta.

 

"Tiga sektor teratas dengan aliran masuk tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM417.9 juta), pembinaan (RM128.1 juta) dan telekomunikasi & media (RM49.8 juta). 

 

"Tiga sektor teratas yang mereka dengan aliran keluar dana tertinggi ialah teknologi (RM118.8 juta), utiliti (RM83.8 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM71.7 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 2 Ogos 2024, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan menjual bersih sejumlah RM363.1 juta minggu lepas selepas belian bersih seketika minggu sebelumnya.

 

Katanya, mereka melalukan pembelian bersih RM35.5 juta pada Isnin dan RM7.3 juta pada Khamis tetapi menjual bersih untuk sepanjang minggu. 

 

"Hari jualan bersih paling tinggi ialah pada Jumaat dengan RM199.9 juta," katanya.

 

MIDF Research berkata, peruncit tempatan membeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan RM121.0 juta. Mereka hanya menjadi penjual bersih pada Isnin dan Khamis masing-masing pada RM18.3 juta dan RM17.6 juta.

 

Katanya, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan 20% dalam kalangan pelabur asing manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan mengalami penurunan masing-masing sebanyak 1% dan 4.8%.- DagangNews.com