Pelabur asing kembali jual RM423.5 juta ekuiti tempatan, tamatkan belian bersih selama tiga minggu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali jual RM423.5 juta ekuiti tempatan, tamatkan belian bersih selama tiga minggu - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pelabur asing kembali menjual ekuiti tempatan sebanyak RM423.5 juta pada minggu lalu, sekali gus menamatkan belian bersih selama tiga minggu di Bursa Malaysia, kata MIDF Research.

 

Katanya, Selasa adalah satu-satunya hari dengan aliran masuk asing bersih, berjumlah RM151.1 juta, manakala baki minggu itu menyaksikan dana asing keluar daripada pasaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran keluar terbesar berlaku pada Khamis, berjumlah RM371 juta.

 

"Pelabur asing hanya membeli bersih tiga sektor minggu lepas dan ini adalah hartanah (RM43.9 juta), utiliti (RM42.2 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

 

"Tiga sektor teratas yang dijual bersih ialah teknologi (RM107.7 juta), produk & perkhidmatan pengguna (RM87.7 juta) dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM80.8 juta)," katanya dalam laporan aliran dana berakhir 26 Julai 2024, hari ini.

 

MIDF Research berkata, institusi tempatan dan peruncit tempatan adalah penyokong bursa tempatan minggu lepas, memecahkan rentetan jualan bersih sebelum ini.

 

Katanya, institusi tempatan membeli bersih RM256.4 juta selepas menjual selama dua minggu sebelumnya.

 

Sementara itu, peruncit tempatan menamatkan tempoh jualan bersih tiga minggu mereka, membeli RM167 juta minggu lepas.

 

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan dalam kalangan peruncit tempatan (27.7%), institusi tempatan (29.4%) dan pelabur asing (35.2%).- DagangNews.com