Pelajar cecah usia 18 tahun boleh divaksinasi - KJ | DagangNews Skip to main content

Pelajar cecah usia 18 tahun boleh divaksinasi - KJ

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin
 

PUTRAJAYA 5 Julai - Vaksinasi COVID-19 boleh diberikan kepada individu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan telah mencecah usia 18 tahun pada tahun ini namun kebenaran ibu bapa dan penjaga diperlukan.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, satu syarat lain yang perlu dipenuhi adalah supaya ibu bapa atau penjaga mereka perlu menandatangani surat perakuan kebenaran  bagi tujuan ini.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan PICK di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, lapor Bernama.

 

Khairy sebelum ini berkata pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara, boleh mendaftar untuk vaksinasi awal di aplikasi MySejahtera.

 

Beliau berkata terdapat ciri baharu khas diperkenalkan di Helpdesk aplikasi MySejahtera bagi memudahkan permohonan vaksinasi golongan tersebut.

 

Menurut Khairy, sejumlah 8,615 janji temu bagi permohonan awal untuk kategori pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara diterima telah diberi.

 

Khairy dalam pada itu berkata, sebanyak 21 pusat pemberian vaksin (PPV) mula beroperasi hari ini, meliputi PPV awam dan PPV integrasi dengan kapasiti sehingga 5,000 suntikan sehari.

 

Antara PPV baharu yang dibuka adalah Dewan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan di Chenor, Pahang, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA  dan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat masing-masing di Selangor.

 

Khairy berkata, purata pemberian suntikan vaksin yang tinggi dicatatkan pada minggu lepas iaitu sebanyak 230,115 dos sehari. - DagangNews.com