Pelaksanaan Jendela berjalan seperti dirancang - SKMM | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan Jendela berjalan seperti dirancang - SKMM

elan Jalinan Digital Negara (Jendela)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang bermula sejak September 2020 berjalan seperti yang dirancang.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menjelaskan pertanyaan Ahli Parlimen Ledang berkata, sepanjang tempoh 10 bulan lalu, dua Laporan Suku Tahun Jendela yang memperincikan mengenai perkembangan dan kemajuan terkini pelaksanaan pelan berkenaan telah diterbitkan pada 31 Disember 2020 dan 31 Mac 2021.

 

Bagaimanapun, Laporan Suku Tahun Jendela yang ketiga dijadualkan akan diterbitkan pada 30 Jun 2021.

 

 

Berikut adalah perincian Laporan Suku Tahun Jendela yang dibuat SKMM;


Laporan Suku Tahun Jendela Pertama

  •  
  • Setakat 31 Disember 2020 melaporkan, sejumlah 456,757 premis telah diliputi dengan jalur lebar tetap berbanding dengan sasaran awal iaitu 352,101 premis.
  • Sebanyak 876 tapak baharu telah didirikan berbanding dengan sasaran sebanyak 940. 
  • Sebanyak 16,367 menara sedia ada telah dinaik taraf berbanding dengan sasaran awal iaitu 16,214.


 

Laporan Suku Tahun Jendela Kedua

  • Setakat 31 Mac 2021 pula melaporkan, sejumlah 292,826 premis telah diliputi dengan jalur lebar tetap berbanding dengan sasaran awal iaitu 221,539 premis.
  • 29 tapak baharu telah didirikan setakat ini berbanding sasaran awal sebanyak 25 tapak manakala 3,278 menara sedia ada telah dinaik taraf jika dibandingkan dengan sasaran 3,223 menara.
  • Liputan 4G telah ditingkatkan kepada paras 93.51% berbanding 92.03% pada suku sebelumnya. 
  • Secara keseluruhannya, 5.7 juta premis telah diliputi dengan gentian optik setakat 31 Mac 2021.


 

Bagi tahun 2022, pelan Jendela telah menyasarkan perkara-perkara berikut;

  1. Melaksanakan penyambungan gentian optik kepada 1,245,452 premis tambahan.
  2. Menaik taraf 12,499 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G untuk peluasan liputan dan peningkatan kelajuan merangkumi perancangan di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagar (USP) dan Komersial.
  3. Membina 193 tapak menara komunikasi baharu (komersial). 
  4. Menamatkan rangkaian 3G dan pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G sekaligus meningkatkan kelajuan perkhidmatan.

 

Mengulas lanjut berkaitan tahun 2022, SKMM berkata, perancangan pelaksanaan Jendela akan melibatkan sasaran-sasaran untuk menyambung gentian optik kepada 929,631 premis tambahan dan pembinaan sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman.

 

"Pihak SKMM maklum bahawa masih terdapat banyak aduan, terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

"Bagi aduan yang boleh dibantu dengan penyelesaian sementara jangka pendek, ianya dilaksanakan dengan kadar segera. 

 

"Manakala, aduan yang tidak dapat disediakan penyelesaian jangka pendek, penerangan diberi untuk membantu pengadu memahami perancangan yang disediakan," jelas SKMM. - DagangNews.com