Pelan Pemulihan Negara, langkah holistik keluar daripada krisis | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara, langkah holistik keluar daripada krisis

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) bagi memastikan pelan pemulihan yang dirancang berjalan lancar.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berperanan menyelaraskan usaha-usaha kementerian serta agensi terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara. 

 

Katanya, sebagai langkah permulaan ke arah penglibatan semua pihak, sebuah sesi rundingan bersama UMNO, PAS dan GPS diadakan untuk mendapatkan input yang boleh menambah baik langkah tersebut. 

 

"Ini adalah demonstrasi sifat keterbukaan kerajaan dalam mengemudi negara dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi rakyat keseluruhannya. 

 

"Sesi libat urus ini akan diteruskan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan ia penting bagi
memastikan suara semua pihak dapat didengari tanpa mengira latar belakang atau pun parti politik
yang disokong," katanya dalam laporan Laksana ke-61 hari ini. 

 
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat JKKPPN yang pertama bagi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

 

Ini bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut COVID-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih berbahaya.

 

Sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Tengku Zafrul bertanggungjawab untuk memantau
pelaksanaan strategi dan bantuan, serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik ini.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, pelan pemulihan itu adalah pelan penyelesaian holistik yang membentangkan strategi keluar daripada krisis pandemik COVID-19 secara komprehensif bagi Malaysia.

 

Menurut Tengku Zafrul, dalam mendepani cabaran COVID-19, bantuan untuk semua pihak harus dihulur melangkaui perbezaan pendapat dan matlamat politik masing-masing. - DagangNews.com