Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 Julai - Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak mungkin menemui kegagalan memandangkan kerajaan meletakkan sepenuh usaha dan tumpuan bagi memastikan negara kembali bangkit daripada krisis wabak COVID-19.
Ketua Penyelidikan Ekonomi Kenanga Investment Bank Berhad, Wan Suhaimie Mohd. Saidie berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan segala proses pemulihan ekonomi berjalan secara berterusan dan berdaya mapan dalam tempoh enam bulan akan datang, yang turut bergantung kepada survival politik.
Malah, katanya, kerajaan cuba melakukan yang terbaik untuk menyokong perkembangan ekonomi dalam menangani beberapa isu antaranya, kadar pengangguran tinggi melebihi 4.5% dan syarikat-syarikat kecil mula menutup perniagaan.
Namun, menurut beliau, sekiranya ia berlaku (gagal), pastinya akan menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjur lebih rendah.
"Sukar untuk dijangkakan buat masa ini, tambahan pula, impak daripada pakej rangsangan kerajaan juga semakin menampakkan hasil dan juga data eksport masih mempamerkan prestasi yang baik.
"Cuma apa yang dibimbangkan ketika ini ialah penggunaan swasta apabila perbelanjaan semakin terbatas, rakyat semakin bimbang mengenai masa depan dan golongan pertengahan semakin mengecil," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat prospek ekonomi bagi suku ketiga 2021 secara maya hari ini yang turut dihadiri Ketua Penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd, Koh Huat Soon.
Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.
Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Wan Suhaimi berkata, pada masa sama adalah penting buat kerajaan untuk membuka kembali sidang Parlimen kerana ia dapat memberi impak positif kepada pasaran meskipun akan mengundang banyak perdebatan dalam kalangan Ahli Parlimen dan boleh memperlahankan dasar-dasar sedia ada.
"Tetapi ini adalah perkara yang positif dalam proses demokrasi yang mana ia lebih terbuka untuk memastikan suara rakyat didengari dengan cuba melakukan yang terbaik," jelas beliau.
Menurut beliau, firma itu mengekalkan unjuran KDNK tahun ini antara 5 hingga 6% lebih rendah berbanding unjuran kerajaan antara 6.5 hingga 7.5% di sebalik pengumuman Pelan Pemulihan Negara.
Ini kerana katanya, ia sudah mengambil kira kemungkinan tempoh 'lockdown' dilanjutkan dan pembukaan ekonomi dibuat secara berperingkat-peringkat berikutan situasi semasa pandemik yang tidak menentu dan kemunculan varian baharu COVID-19.
Bagi ringgit pula, tambahnya, ia diunjur berlegar pada RM4.03 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang hujung tahun ini.
"Kami melihat ringgit akan bertambah baik pada separuh kedua sehingga tahun depan meskipun berdepan beberapa situasi tidak menentu antaranya kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS seawal 2022," katanya.
Ketika ditanya mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Wan Suhaimie berkata, ia menyaksikan aliran masuk yang positif pada suku pertama ini walaupun Malaysia agak ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini.
Tetapi, katanya, kemasukan FDI mungkin mengalami sedikit penurunan pada suku kedua dan seterusnya.
"Dalam erti kata lain, kita memerlukan aliran masuk jangka panjang ini untuk memastikan pertumbuhan yang mapan termasuk juga portfolio bon dan ekuiti," jelasnya.
Beliau berkata, kemasukan aliran masuk FDI juga dijangka lebih positif tahun ini berbanding 2020.
Pada suku pertama tahun ini, aliran masuk FDI meningkat 34.7% kepada RM9.1 bilion daripada RM6.8 bilion pada suku sebelumnya, disokong pemulihan pelaburan ekonomi pada 2021.
Angka pelaburan itu adalah tertinggi sejak Malaysia dilanda penularan COVID-19 dipacu aliran masuk ekuiti serta dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, meskipun aliran rendah pelaburan asing mungkin kelihatan membimbangkan, FDI di Malaysia mencatatkan aliran masuk lebih baik pada suku pertama dan pelaburan terkumpul juga kekal tinggi, menandakan peningkatan prestasi pelaburan pada tahun ini. - DagangNews.com