Pelancaran hartanah baharu, MIDF Research unjur prospek jualan positif bagi UOA Development pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

Pelancaran hartanah baharu, MIDF Research unjur prospek jualan positif bagi UOA Development pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Julai - MIDF Research mengunjurkan prospek jualan positif untuk UOA Development Bhd pada 2HFY24 didorong pelancaran hartanah baharu yang lebih agresif sejak tahun lalu.

 

Katanya, peningkatan pelancaran projek baharu adalah berdasarkan kepada pasaran hartanah yang bertambah baik dan minat belian yang lebih kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM121 juta pada 1QFY24 disumbangkan projek Aster Hill di Sri Petaling.

 

"Kami menjangkakan sumbangan jualan baharu daripada Bamboo Hills Residences untuk menyokong momentum jualan baharu pada 2HFY24.

 

"Selain itu, jualan projek yang sedang dijalankan iaitu Laurel Residence di Bangsar South, Aster Hill di Sri Petaling, dan Duo Tower di Bangsar South dilihat akan terus memberikan sokongan jualan kepada kumpulan pada 2HFY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu merancang untuk melancarkan Bamboo Hills Residences secara rasmi bulan depan.

 

Katanya, Bamboo Hills Residences merupakan pembangunan berorientasikan transit yang dihubungkan terus ke stesen MRT Kentonmen melalui jambatan bersambung.

 

Bamboo Hills Residences terdiri daripada tiga menara pangsapuri suite pegangan bebas yang terletak di atas podium runcit dua setengah tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.

 

Saiz pangsapuri tersebut adalah dari 603 kaki persegi hingga 904 kaki persegi dengan harga jualan bermula daripada RM370,000.

 

"Kami berpendapat bahawa kadar tempahan yang baik mungkin disebabkan oleh harga jualan Bamboo Hills Residence yang berpatutan iaitu antara RM400,000 hingga RM600,00.

 

"Selain itu, kami percaya lokasi projek yang baik terletak bersebelahan Jalan Ipoh dengan akses terus ke stesen MRT juga membantu menarik pembeli," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham.- DagangNews.com