KUALA LUMPUR 3 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan hasil tunai daripada pelupusan Capital A Berhad bagi baki kepentingannya dalam AirAsia India (AAI) akan mengukuhkan aliran tunai syarikat dan menangani kebimbangan kecairannya.
Firma itu berkata, walaupun sukar untuk Capital A meninggalkan sepenuhnya pasaran India namun ia dilihat sebagai langkah jangka pendek yang positif bagi syarikat dalam memberikan tumpuan kepada pasaran ASEAN.
Katanya, kumpulan itu akan menerima RM89.3 juta untuk mengukuhkan aliran tunainya dan menangani kebimbangan kecairannya yang berterusan ketika kumpulan itu terus pulih daripada pandemik COVID-19.
"Kami percaya Capital A akan mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan perjalanan udara serantau.
"Bagi jangka panjang, apabila kunci kira-kira Capital A telah kukuh, kami percaya ia akan sekali lagi meneroka peluang untuk mengembangkan rangkaian kumpulan dan jangkauan pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
BACA JUGA: AirAsia jual baki saham dalam AirAsia India, kini tumpukan pasaran ASEAN
Terdahulu, Capital A mengumumkan pelupusan baki 16.33% kepentingannya dalam AAI untuk hasil kasar 1.6 bilion rupee (RM89.3 juta).
Capital A tidak akan mengiktiraf keuntungan atau kerugian atas pelupusan itu kerana harga pelupusan sepadan dengan nilai saksamanya.
Firma itu berkata, selepas pelupusan, Capital A tidak akan memegang sebarang kepentingan ekuiti dalam AAI dan Lesen Jenama dan Perjanjian Perkhidmatan Teknikal antara AirAsia Berhad dan AAI akan ditamatkan selepas 12 bulan dari tarikh penamatan perjanjian pemegang saham.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Capital A dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 88 sen. - DagangNews.com