Pemaju hartanah diramal terima manfaat besar daripada ledakan pusat data | DagangNews Skip to main content

Pemaju hartanah diramal terima manfaat besar daripada ledakan pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pemaju hartanah diramal terus menerima manfaat besar daripada ledakan pusat data termasuk menjadi pemilik kemudahan itu dan menjana hasil yang tinggi menerusi penyewaan. 

 

Public Investment Bank (Publicinvest) berkata, antara cara yang akan memberi manfaat kepada mereka termasuk membina pusat data sendiri dan menjadi pemilik asset atau menjual tanah kepada pelabur pusat data atau menjalinkan kerjasama untuk pembangunan.

 

Katanya, sebagai contoh,  Sime Darby Property sedang membina pusat data berskala besar di City of Elmina untuk Google, dijangka menjana pendapatan sewa RM2 bilion dalam tempoh 20 tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain tu, Eco World Development menjual 49.8 hektar tanah perindustrian di Kulai kepada Microsoft Payments (Malaysia) pada harga RM402.3 juta, sekitar RM75 sekaki persegi.

 

"Mah Sing Group telah menandatangani perjanjian persefahamanan untuk membangunkan pusat data dalam perbandarannya, mencerminkan trend yang semakin meningkat dalam kalangan pemaju hartanah untuk memanfaatkan pasaran pusat data yang semakin berkembang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

PublicInvest berkata, menurut laporan pasaran hartanah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) 2023, rumah yang tidak terjual siap dibina di Malaysia telah menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah kediaman tidak terjual menurun sebanyak 7% tahun ke tahun kepada 25,816 unit pada 2023, berbanding 27,746 unit pada 2022.

 

Katanya, nilai unit kediaman tidak terjual juga merosot 4% kepada RM17.68 bilion pada 2023, turun daripada RM18.41 bilion pada 2022.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kediaman tidak terjual diterajui oleh unit berharga RM300,000 ke bawah (29.4%), diikuti oleh unit berharga daripada RM500,001 hingga RM1 juta (29.1%), RM300,001 hingga RM500,000 (25.3%) dan ke atas RM1 juta (16.2%).

 

"Perak menyaksikan peningkatan ketara dalam unit tidak terjual, meningkat sebanyak 98.9% kepada 4,598 unit pada 2023, mengatasi Johor, di mana unit tidak terjual turun sebanyak 19.6% kepada 4,228 unit.

 

"Negeri lain yang tidak terjual termasuk Kuala Lumpur dengan 3,535 unit (meningkat 3.1% daripada 2022) dan Selangor dengan 3,405 unit (turun 7.9% daripada 2022).

 

"Secara keseluruhan, walaupun terdapat penurunan dalam unit tidak terjual di peringkat nasional, negeri tertentu seperti Perak telah mengalami peningkatan yang membimbangkan, menonjolkan variasi serantau dalam dinamik pasaran hartanah," katanya.

 

Publicinvest mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor hartanah. - DagangNews.com