Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup hanya pilihan bermula 7 September 2022 | DagangNews Skip to main content

Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup hanya pilihan bermula 7 September 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan kepada orang ramai berkuat kuasa 7 September 2022.

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun, orang ramai masih perlu memakai pelitup muka apabila berada di semua kemudahan penjagaan kesihatan seperti hospital, klinik, pusat penjagaan dan sebagainya.

 

"Pemakaian pelitup muka juga adalah perlu apabila berada di dalam pengangkutan awam dan sekiranya individu berkenaan positif COVID-19.

 

"Pada masa sama, mereka yang berisiko tinggi digalakkan untuk terus memakai oelitup muka di kawasan berkenaan," katanya.

 

Bermula 1 Mei 2022, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

 

Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

 

KJ
Khairy Jamaluddin

 

Bagaimanapun, KKM memberitahu, pemilik premis juga memliki kuasa untuk menetukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya tetapi orang ramai adalah digalakkan untuk terus memakai pelitup muka bagi mengurangkan penularan jangkitan.

 

Orang ramai juga digalakkan untuk terus memakai pelitup muka semasa berada di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan rumah ibadat selain mereka yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema selain warga emas yang mempunyai penyakit kronik, imuniti rendah serta ibu mengandung.

 

"Menerusi kelonggaran itu, orang ramai perlu memikul tanggungjawab untuk melindungi diri sendiri selain keseluruhan komuniti mereka.

 

"Kementerian juga percaya orang ramai akan terus mengamalkan kawalan kendiri terbaik dalam memastikan kebersihan diri bagi mengelakkan diri daripada penyakit berjangkit termasuk COVID-19," katanya. - DagangNews.com